Friday, August 28, 2009

Peria, Labu & Bendi.... Harvest

Salam Ramadhan dan selamat berpuasa semua...... bila tiba bulan puasa nih kerja² tetap dijalankan seperti biasa cuma balik awal sedikit daripada biasa untuk berbuka, jika tidak sebelum ini hampir jam 8 malam baru balik. Kerja² pada bulan puasa ini tidaklah seteruk waktu saya di Japan dahulu, berpuasa seorang diri di Fukuoka.... bekerja di ladang bapa angkat dari pagi hingga ke petang... tak bersahur...dan bila tiba waktu berbuka tidak dibenarkan pulang sebab tempoh waktu bekerja belum tamat lagi.. terpaksalah makan dan minum apa yang ada ditengah² ladang. itulah cara bekerja di sana... walaupun apa yang berlaku kerja² tetap dijalankan seperti biasa.

Berbalik kepada kebun, tanaman peria sudah mula mengeluarkan hasil dijangkakan seminggu dari sekarang hasil mula akan bertambah. Jika dilihat pada masa sekarang, pucuk² peria masih lagi menjalar dan belum menutupi junjung sepenuhnya. Sepanjang minggu ini boleh dikatakan setiap hari hujan pada sebelah petang dan malam ini tidak baik untuk tanaman sayur seperti peria di mana hujan yang lebat mengakibatkan serangan kulat pada daun peria, oleh itu kerja² meracun terpaksa dilakukan dengan kerap.

Untuk tanaman lain pula seperti bendi dan labu, hasil telah mulai dituai dan dijual. Seperti mana peria tanaman tersebut juga masih dalam peringkat permulaan pengeluaran hasil dan hasil akan mula bertambah dari masa ke semasa. Selain kerja² di kebun, pada masa sekarang kami menjalankan kerja² menuai padi seluas 60 ekar di Luit, Daerah Maran... kerja² tersebut mungkin akan selesai dalam tempoh terdekat ini.


tanaman peria sudah mula menutupi junjung



peria mula berbuah



bendi juga mula berbuah dan dituai hasilnya



labu mula di petik dan dijual secara berperingkat

Saturday, August 1, 2009

Peria, Bendi Dan Labu Update Ogos 09

Pada sekarang tanaman peria sudah berumur 2 minggu lebih, ada sesetengah pokok peria mencecah ketinggian paras kepala. Pada kebiasaannya buah peria boleh dipetik sejak berumur 50 hari. Untuk tanaman kali ini kami cuba sedaya upaya berusaha agar peria ini mula mengeluarkan hasil 45 hari sahaja iaitu awal 5 hari daripada kebiasaan. Pelbagai cara dan kaedah digunakan untuk tanaman peria musim ini agar dapat menghasilkan buah yang baik dan banyak. Ini adalah kali kedua kami menanam peria berdasarkan pengalaman yang lalu, kami cuba memperbaiki kaedah tanaman yang digunakan dahulu. Kami menjangkakan hasil tanaman peria akan mula di kutip pada penghujung bulan ini. Harga semasa peria untuk harga ladang pada masa ini ialah RM3.00 untuk setiap kg. Diharapkan harga tersebut berkekalan atau meningkat di masa hadapan. Untuk tanaman labu pula ia sudah mula mengeluarkan buah dan tanaman bendi pula sudah membesar dan mencapai ketinggian 1 hingga 2 kaki. Kami menjangkakan tanaman labu dan bendi tidak akan mengeluarkan hasil yang banyak, ini kerana tanaman tersebut di tanam di atas batas yang telah digunakan untuk tanaman cili dan peria tempohari, masalah kekurangan baja asas dan batas yang telah menjadi padat mungkin akan mengakibatkan pokok tidak berapa subur dan hasil yang tidak berapa memuaskan. Sepanjang 2 minggu ini antara aktiviti yang dijalankan ialah memunggah kayu daripada hutan untuk digunakan sebagai pancang tanaman peria untuk fasa kedua. Selain itu pada minggu lepas kami menjalan kerja-kerja menuai padi seluas 60 ekar di Bera milik En. Zizi. Pada peringkat awal kami menjangkakan kerja-kerja tersebut akan selesai dalam masa seminggu tetapi malang tidak berbau, jentuai padi kami telah terbenam di dalam sawah tersebut kerana disebabkan oleh mendapan tanah. 4 hari diperlukan untuk mengeluarkan jentuai dan membaiki kerosakan, jentuai terpaksa dikeluarkan menggunakan Bulldozer, ditarik dengan traktor dan laluan dibina menggunakan JCB. Hari semalam (31 julai) kerja-kerja menuai telah selesai dan jentuai telah dibawa pulang. Dalam bulan ini antara aktivi yang dirancang ialah mengumpul kayu dari hutan untuk dibuat junjung, membina junjung selain itu penyedian tapak seluas 5 ekar untuk tanaman labu.


Tanaman peria sedang membesar


Pertumbuhan peria mula mencecah junjung



labu mula menutupi tanah


Jentuai padi terbenam didalam sawah



Bulldozer, Traktor dan JCB terpaksa digunakan untuk mengeluarkan jentuai.


Tip Tanaman Labu:

  • Jarak tanaman ialah 3-4 kaki X 5-6 kaki.
  • Baja asas (tahi ayam) amat penting, lagi banyak lagi bagus.
  • Siraman diperlukan setiap hari (pagi & petang).
  • Sistem drip (titisan) sesuai untuk tanaman labu kerana air terus pergi ke pangkal pokok.
  • Sistem renjis tidak digalakkan kerana air kebanyakkan tidak sampai ke tanah kerana dihalang oleh daun labu. Selain itu sistem renjis menggalakkan pertumbuhan rumput (rumput pun dapat air gak).
  • Kerja² pembajaan perlu mengikut jadual ini kerana bila pokok sudah besar ia akan menyusahkan pergerakan untuk melakukan kerja² pembajaan.
  • Pendebungaan digalakkan untuk menghasilkan buah yang banyak.
  • Maklumat tanaman sila rujuk di sini

Monday, July 13, 2009

Peria, Bendi Dan Labu Update July 09

Alhamdulillah peria seluas 2 ekar selamat di tanam pada hari semalam (12 July), pada masa sekarang 5 ekar kawasan telah ditanam dengan peria, bendi dan labu. Selepas 3 bulan bertungkus lumus menyiapkan tanaman peria akhirnya selesai juga untuk fasa pertama ini. Kerja² membuat junjung peria sahaja telah mengambil masa selama 2 bulan. Untuk sepanjang bulan july ini selain kerja² penjagaan untuk tanaman peria, bendi dan labu, kami akan mula menanam labu seluas 5 ekar di tapak 2 (kawasan tanaman nangka) dimana sebelum ini kami merancang untuk menanam tembikai tetapi terpaksa menukar rancangan kerana bekalan tahi ayam hanya akan di perolehi pada pertengahan bulan ini jadi sudah terlewat untuk menanam tembikai dan dipasarkan pada bulan puasa nanti. Junjung untuk tanaman peria fasa kedua akan dibina dalam tempoh waktu ini juga, selain itu tanaman lain juga akan ditanam untuk memenuhkan keseluruhan kawasan tanaman seluas 10 ekar ini. Mengikut perancangan pada bulan september ini, kami mula akan membuat kerja² dan memulakan proses tanaman di tapak 3 (TKPM Serengkam) seluas 20 ekar dengan tanaman nangka madu, dianggarkan 1,400 hingga 2,000 pokok nangka madu akan di tanam di tapak tersebut.


anak pokok peria di tapak semaian



kerja² menanam peria



tanaman labu sudah mula menjalar


Tuesday, June 23, 2009

Peria, Cili, Bendi dan labu Update II Jun 09

Status projek pada masa ini, bendi telah mula berputik, cili sudah 1 kaki tinggi dan labu pula sudah mula membesar dan mengeluarkan 4 hinga 6 helai daun. Tanaman peria pula kerja² memasang junjung telah selesai dijalankan dan kerja² membajak sebanyak 2 kali juga telah dilakukan. Pada hari ini kerja² menabur tahi ayam akan dilakukan dan setelah selesai kerja² mengaul dan membina batas akan dilakukan. Kerja² pemasangan sistem siraman dan memasang silver shine akan dilakukan pada minggu ini dan seterusnya peria akan mula ditanam pada minggu hadapan... insyaallah.....


kerja² memunggah tahi ayam


tapak tanaman peria sudah dibajak


pokok labu mula membesar

Musim Durian Dah Tiba...Uhukkkk

Ermm.... musim durian dah tiba.. alhamdulillah pokok durian di dusun bapa saya ada juga yang berbuah. Maklumlah durian nih kadang² bergantung kepada nasib, kadang² menjadi kadang² tidak lebih² lagi kalau pokok yang tak terjaga...ermmmm satu lagi masalah musuh..kera....habis buah durian di petiknya dan dirobek-robeknya..... nak tembak? dah tak larat nak tembak..banyak gila kera nih. Inilah dusun durian bapa saya keluasan hampir 15 ekar... pada awalnya 500 pokok durian ditanam dan pada masa sekarang hanya tinggal 100 pokok sahaja... yang lain mati akibat kemarau. Pada hari ini (23 jun) durian mula gugur... rasanya start minggu depan banyak lagi yang akan gugur.


suasana di dusun


durian lebat berbuah


langsat juga berbuah


Thursday, June 11, 2009

Peria, Cili, Bendi dan labu Update Jun 09

Pada masa sekarang 3 ekar kawasan sudah ditanam dengan cili, bendi dan labu. Tanaman tersebut di tanam di atas batas peria yang telah runtuh tempohari, memandangkan batas peria masih elok dan banyak lagi baja yang terdapat pada batas tersebut kami mengambil keputusan untuk menggunakan kembali batas tersebut. Secara tidak langsung ia dapat menjimatkan kos dan masa untuk penyediaan tapak. Untuk tanaman peria pula kami merancang menanam seluas 4 ekar dan pada masa ini pancang-pancang telah didirikan untuk kawasan seluas 2 ekar. Untuk musim kali ini kayu ukuran besar digunakan untuk mendirikan junjung untuk mengelakkan dari musnah dipukul ribut seperti tempohari, oleh kerana kayu terlalu besar kami terpaksa membeli auger yang berharga RM3,500.00 untuk di pasang pada traktor dan digunakan untuk mengorek lubang untuk mendirikan pancang² tersebut. Tanaman peria akan mula di tanam selewat-lewatnya 2 minggu dari sekarang.



auger digunakan untuk mengorek lubang


pancang² kayu yang telah didirikan sebagai junjung tanaman peria


timbunan kayu untuk membina junjung baki 2 ekar kawasan lagi


tanaman bendi ditanam di atas bekas batas peria



Tuesday, May 26, 2009

Insentif Pengeluaran Tanaman

Pada 2 minggu yang lepas saya telah menerima insentif pengeluaran hasil berjumlah RM1,246.00 dari Jabatan Pertanian yang telah di sampaikan oleh Dato' Tan Aminuddin B. Ishak iaitu Exco Pertanian Dan Industri Asas Tani Negeri Pahang semasa Majlis Bersama Pelanggan Jabatan Pertanian Peringkat Daerah Maran. Sebelum ini wang insentif terus masuk dalam akaun bank sahaja tapi untuk yang kali ini istimewa sedikit dapat "cek besar" hehe. Insentif RM1,246.00 adalah insentif untuk bulan mac iaitu pengeluaran sebanyak 15,000 kg peria dan cili. Untuk makluman semua kerajaan memberi insentif sebanyak RM81 untuk setiap 1,000 kg hasil tanaman yang dikeluarkan oleh petani, untuk keterangan lanjut boleh rujuk pada Jabatan Pertanian berhampiran dengan anda.

anak buah dengan "cek"
.

Tanaman Labu Update May 09

Labu sudah mengeluarkan hasil bermula minggu yang lepas setakat hari ini 16,000 kg telah dikeluarkan. Rasanya tanaman labu untuk musim ini tidak mencapai sasaran iaitu 25,000 kg. Anggaran 25,000 kg jumlah hasil tanaman labu adalah berdasarkan jumlah yang sama yang pernah dikeluarkan pada tahun lepas. Tanaman labu kali ini boleh dianggap tanam main² kurang penjagaan, sebab sejak dari peringkat awal lagi kami terlalu sibuk dengan tanaman peria yang musnah akibat ribut dan pada peringkat seterusnya pula kami sibuk mencari kayu untuk di buat junjung peria di hutan........ selama 3 minggu masa di habiskan untuk mencari 900 batang kayu bersaiz 6 inci hingga 8 inci untuk dibuat junjung. Selain itu kedudukan tapak projek labu ini yang jauh daripada projek tanaman sayuran juga menyukarkan kami untuk membahagikan masa dan tugas. Sepanjang tempoh itu, labu hanya sekali di racun dan sekali di baja. Untuk projek seterusnya di kawasan ini kami bercadang akan menanam tembikai seluas 5 ekar, ianya akan bermula bulan hadapan dan dijangka hasil boleh dituai pada bulan puasa nanti.

Pada masa sekarang cili dan bendi telah ditanam dan peria masih dalam proses penyediaan tapak, kerja² menanam kayu pancang menggunakan traktor dan auger sedang dijalankan.... cerita lengkap dan gambar akan menyusul kemudian.

kerja² memungut buah labu
.

kerja² mengumpulkan labu
.

sebahagian labu telah ditimbang dan dibungkus
.


labu sedia di pasarkan
.



Thursday, May 7, 2009

Apabila Impian Jadi Kenangan

Kisah nih lari dari topik skit tetapi kami ingin berkongsi pengalaman ini dengan orang lain, ini adalah kisah sikap orang kita yang suka mengambil jalan mudah untuk mencari keuntungan tanpa memikirkan tentang kesusahan dan usaha orang lain. Lebih sepuluh tahun yang lalu bapa saya mengusahakan tanaman padi secara komersil di sini dengan keluasan lebih 135 ekar. Tanah tersebut adalah milik orang kampung yang di pajak oleh pihak kami. Daripada sebuah paya yang sudah terbiar puluhan tahun, dipenuhi semak samun, tanpa tali air yang sempurna, paya yang tidak rata, tanpa jalan ladang yang lengkap, tiada pagar dan berbagai kekurangan lagi. Dengan segala usaha dan susah payah bapa saya berjaya memajukan paya tersebut menjadikan paya itu lengkap dengan segala pasarananya, paya rata, dilengkapi tali air yang sempurna, kemudahan jalan yang lengkap, dilengkapi sepenuhnya dengan pagar elektrik dan pelbagai lagi. Sepanjang 10 tahun menjayakan projek tersebut hampir RM500,000.00 dilaburkan untuk projek tersebut termasuklah membeli pelbagai jentera² dan peralatan untuk projek padi tersebut. Sepanjang tempoh itu juga bapa saya mendapat pengiktirafan sebagai Projek Tanaman Padi Secara Komersil Terbesar di Negeri Pahang juga dinobatkan sebagai Johan Usahawan Tani Peringkat Negeri Pahang dan Naib Johan Kelompok Pertanian Terbaik Negeri Pahang. Selain itu juga kami berjaya mengeluarkan hasil padi lebih 200 tan untuk setiap musim. Projek padi ini juga merupakan langkah pertama saya terlibat dalam bidang pertanian di mana pada umur 15 tahun saya sudah mula membajak menggunakan traktor dan memandu jentuai membantu bapa saya mengusahakan projek padi tersebut. Selain itu kami merancang dalam tempoh 10 tahun akan datang kami akan memperluaskan kawasan tanaman tersebut secara berperingkat-peringkat sehingga keluasan 200-300 ekar.

Setelah habis tempoh pajakan 10 tahun dan setelah 3 tahun menunggu keputusan samaada dibenarkan untuk terus untuk mengusahakan paya tersebut atau tidak, akhirnya kami akur bahawa paya tersebut akan diserahkan kepada pengusaha yang lain. Tapi apa yang kami kesalkan ialah tentang sikap pihak tertentu yang berebut² untuk mengambil alih paya yang telah bapa saya usahakan itu. Padahal ada beratus ekar lagi paya terbiar yang belum diusahakan kawasan itu, kenapa pula hendak berebutkan kawasan paya yang telah diusahakan oleh bapa saya. Jawapannya mudah saja, mereka tidak boleh tengok orang lain senang dan mereka mengambil jalan mudah untuk mengusahakan kawasan tanaman yang telah lengkap pasarananya dan mereka tidak perlu bersusah payah untuk membanting tulang dan mengeluarkan modal satu sen pon untuk menyediakan pasarana projek. Selain itu lebih menyedihkan ada pihak yang akan mengalibabakan paya tersebut kepada pihak lain jika berjaya mendapatkkannya kelak. Sebenarnya jika pihak lain itu memajukan kawasan paya terbiar yang lain ia akan mendatangkan banyak faedah antaranya memperluaskan kawasan tanaman padi di Chenor dan seterusnya menyahut seruan kerajaan menjayakan tanah² terbiar. Disebabkan pelbagai pihak yang melobi untuk menjayakan kawasan tanaman padi kami itu dan selain cakap² belakang yang kurang enak cuba memburukkan pihak kami, akhirnya kami membuat keputusan untuk menarik diri dari terus menjayakan sawah padi tersebut. Walaupun kami kecewa lebih² lagi bapa saya yang selama ini memberi komitmen yang tinggi terhadap projek tersebut termasuklah membawa kami sekeluarga berpindah jadi Jengka ke Chenor belasan tahun yg lalu untuk memudahkan beliau menjayakan projek padi tersebut.

Akhir sekali, sebenarnya saya sudah ada perancangan untuk meningkatkan hasil tanaman padi semasa saya di Japan dulu, ingatkan bila balik nanti bolehlah saya praktikkan kaedah tanaman padi yang saya jayakan semasa di Japan ke projek padi bapa saya. Walaupun ia tidak menjadi kenyataan, kami berharap agar projek tanaman padi tersebut jatuh kepada tangan pihak yang betul dan semoga ia akan terus sukses seperti waktu² kami mengusahakannya dulu lagipun tidak susah rasanya sebab semuanya sudah terhidang didepan mata.


Kawasan tanaman padi menjadi rebutan

.
Padi semasa mengeluarkan hasil

.
Saya dan adik (jijo) berehat selepas penat bekerja di sawah
.

Ulang Tahun Pertama Blog

Sedar tak sedar dah setahun rupanya kewujudan blog nih. Terima kasih kepada pelawat² yang datang menjengah blog tak seberapa kami ini. Tujuan asal blog ni sebenarnya untuk memudah pihak² tertentu melihat perkembangan aktiviti pertanian kami, tetapi tidak sangka juga tanpa promosi... yelah sebab bukan jual barang pon...dan dengan link² dari blogger yang lain jumlah pengunjung sudah pun mencecah 7,500 lebih pelawat dan lebih 18,500 pages di lawati... terima kasih kepada blogger yang link blog kami ini. Satu lagi dikesempatan ini kami ingin memaklumkan kepada pelawat² kami tidak menyiarkan no telefon di blog kerana terlalu sibuk dengan kerja² di kebun ini membatas kami untuk menjawab telefon jadi eloklah rasa lebih baik tidak menyiarkan no telefon dari membiarkan panggilan dari tidak berjawab. Bukan kedekut ilmu, tetapi komitmen terhadap kerja tidak mengizinkan. Walaubagaimana anda semua masih boleh menghubungi kami melalui email ini taufiku.san@gmail.com


Statistik pelawat blog selama setahun
.
.

Monday, April 20, 2009

Penyedian Tapak Peria, Cili & Terung

Tempoh bulan april hingga sept ini kami merancang akan menanam peria, cili dan terung seluas 8 ekar, pecahan tanaman adalah seperti berikut.
Setelah peria musnah dipukul oleh ribut kerja-kerja pembersihan telah dilakukan dan pada masa yang sama pula kami mendapat tawaran kerja membajak sawah padi seluas 60 ekar di Kg. Luit, Maran. Memandang 2 unit traktor terpaksa dikerahkan ke Kg. Luit membuat kerja² membajak tersebut, maka kerja² membajak di kebun terpaksa ditangguhkan, tapi dalam masa yang sama kami melakukan kerja² menyemai cili dan terung dan seterus kerja² mencari kayu untuk dibuat junjung peria. Sehingga kini 3 muatan lori kayu berjaya dikumpulkan daripada hutan.

Kami menjangkakan kerja penyedian tapak akan siap sepenuhnya awal may dan hasil tanaman pula mula dituai pada penghujung jun nanti. Mengenai tanaman cili pula, ia masih mengeluarkan hasil sehingga kini hampir 5,000kg cili dihasilkan daripada 2,500 pokok kami menjangkakan cili akan mengeluarkan hasil hingga penghujung bulan ini sahaja, memandangkan kini pokok sudah sampai ke pusingan yang terakhir.
.
Anak pokok cili yang disemai
.

Anak pokok terung yang disemai
.

Sebahagian kayu untuk membina junjung peria
.

Pokok cili masih mengeluarkan hasil
.
.

Tapak Baru - TKPM Serengkam Maran

Alhamdulillah...... setelah menghadiri temuduga tempoh hari, akhirnya kami mendapat berita yang mengembirakan iaitu menerima surat tawaran menyertai Projek TKPM Serengkam, Maran. Surat tersebut ditandatangani oleh Pengarah Pertanian Negeri Pahang iaitu Hajjah Kamariah Binti Ismail, AMP,. Dengan tawaran tersebut kami akan mendapat tapak projek yang baru yang terletak di Kg. Serengkam, Maran. Di kawasan baru ini kami mendapat tapak projek seluas 20 ekar, dengan keluasan tersebut menjadikan keseluruhan kawasan tanaman kami menjadi 35 ekar termasuk kawasan tanaman nangka yang telah ditanam pada masa sekarang. Diharapkan dengan adanya kawasan tanaman yang baru ini akan membantu mengembangkan operasi syarikat kami kelak.

Dikesempatan ini juga kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Pertanian kerana memberi kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada pihak kami. Ucapan terima kasih untuk Pengarah Pertanian Negeri Pahang iaitu Hajjah Kamariah Binti Ismail dan juga untuk Pegawai Pertanian Daerah Maran iaitu En. Muhamad Khalil B. Idris yang banyak membantu kami selama ini termasuklah tindakan pantas beliau melawat kebun kami yang musnah akibat ribut tempohari.
.

Sebahagian surat tawaran

Labu & Nangka Madu Update April 09

Pada masa sekarang tanaman labu yang di tanam di kawasan tanaman nangka madu mula menghasilkan buah. Mengikut jangkaan kami hasil akan mula boleh dituai sebulan daripada sekarang. Alhamdulillah tanaman labu tidak banyak menghadapi masalah pada musim ini, percaya atau tidak tanaman labu ini hanya sekali sahaja diracun. Cuaca hujan sejak kebelakangan ini juga banyak membantu pertumbuhan pokok labu tersebut. Pada masa sekarang harga ladang untuk labu ialah RM1.00 untuk 1kg, kami berharap harga ini berkekalan atau meningkat sehingga bulan hadapan. Kami mensasarkan kutipan hasil untuk labu sekurang-kurangnya 25,000kg untuk musim ini.
.
Untuk tanaman nangka madu pula pertumbuhan agak baik, pokok membesar dengan baik dan pada masa sekarang tiada lagi pokok yang musnah disebabkan oleh serangan babi. Mengikut perancangan awal pada 13 April yang lalu sepatutnya Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani akan melawat tapak projek tanaman nangka madu kami, tetapi disebabkan oleh peralihan kuasa dan pertukaran menteri di kabinet menyebabkan lawatan ini ditunda ke satu tarikh yang lain.
.
.
Tanaman labu memenuhi semua kawasan tanaman
.
.

Kerja-kerja pemeriksaan pada tanaman labu


Buah labu sedang membesar
.
.

Tuesday, March 10, 2009

Kaze Kitta...Zannen Deshita.. (Ribut Telah Melanda..Sayang Sekali)

Tragedi pada 6 mac....9.00 malam, jumaat malam sabtu ribut yang kuat beserta hujan yang lebat telah memusnahkan semua tanaman peria kami. Di mana kesemua pokok dan pancang / junjung telah tumbang menyembah bumi. Disebabkan oleh ribut yang sangat kuat itu, Boleh dikatakan tanaman peria tersebut tidak dapat diteruskan lagi "total lost". Sehingga hari ini iaitu 20 hari keluaran hasil kami telah berjaya mengeluarkan sebanyak 336 bakul (13,440kg) iaitu (25% daripada jumlah sasaran) dan berdasarkan keadaan semasa.. kami mensasarkan keluaran hasil mampu mengeluarkan hasil selama 60 hari lagi dan sebanyak 20,000kg - 30,000kg peria mampu dihasilkan lagi. Oleh disebabkan kejadian malang itu pihak kami kerugian sebanyak RM40,000 - RM60,000 (boleh dapat sebiji kereta tu...hehe).

Kejadian ribut ini sedikit sebanyak mengikis semangat kami, di mana sebelum ini pelbagai dugaan telah kami hadapi tetapi dugaan kali ini yang paling besar dan sangat memberi kesan kepada kami. walaupun ini kali pertama kami menanam peria, peria yang dihasilkan kali ini sangat memuaskan hasilnya di mana pada hari terakhir iaitu pada hari jumaat 6 Mac sebanyak 54 bakul (2,160kg) pada hari itu sahaja dan pengeluaran seterusnya juga dijangkakan akan bertambah dari masa ke semasa.... tapi apakan daya ia musnah begitu sahaja.

Mengikut kata 2 orang pekebun cina yg melawat kebun kami, buah peria kami terlalu banyak mengeluarkan hasil. Kata mereka lagi, kebiasaannya untuk keluasan 2 ekar keluaran hasil untuk setiap 2 hari ialah 800kg hingga 1,000kg tetapi pihak kami mengeluarkan 2,000kg. Oleh itu buah yg banyak menjadi faktor penyumbang kepada kejadian tersebut ini kerana pokok terlalu berat di anggarkan 10 tan berat buah peria pada junjung semasa kejadian tersebut.

Sebelum ini pernah juga terlintas di fikiran kami tentang kemungkinan berlaku kejadian seperti ini, kami telah bertindak lebih awal dengan menambah bilangan kayu sokongan, menambah bilangan dawai pengikat, menggantikan kayu yg lama dengan yg baru dan sebagainya...tetapi nasib tetap tidak menyebelahi kami........kami tidak mampu untuk melawan kehendak takdir. Sedikit sebanyak kejadian ini memberi pengajaran yang berguna kepada kami, supaya lebih bersedia di masa-masa akan datang.

Pada masa sekarang kami sedang memungut buah peria yang masih boleh dijual. Walaupun sudah 3 hari kejadian berlaku pokok peria masih lagi subur dan tidak rosak cuma masalahnya adalah amat sukar untuk kami menaikkan pokok tersebut kerana ia terlalu berat. Kemungkinan besar pokok peria tersebut akan dimusnahkan dalam masa terdekat dan digantikan dengan tanaman lain.
.
keseluruhan kawasan tanaman peria musnah
.
.
kerja-kerja mengutip sisa buah peria
..
.
kerja mamasukkan peria ke dalam bakul
.
.
hanya 50 bakul (2,000kg) setakat hari ini
berjaya dikeluarkan daripada runtuhan
.
.
buah peria yg banyak dan berat menjadi faktor
penyokong kepada kejadian ini.
.
.

video selepas kejadian ribut
.
.

Cili Update Mac 09

Alhamdulillah... cili tidak terjejas akibat ribut tempoh hari, cili kami masih lagi mengeluarkan hasil. Pada masa sekarang cili mengeluarkan hasil sebanyak 2 hingga 4 bakul (70kg - 140kg) setiap hari. Pada peringkat awal hampir 3 ribu pokok di tanam, tetapi pada masa sekarang hanya 80% hingga 85% sahaja iaitu lebih kurang 2,500 pokok sahaja yang masih hidup dan mengeluarkan hasil, yang selebih dimusnahkan kerana terkena jangkitan penyakit atau mati akibat penyakit. Hampir 3,000kg (3 tan) cili dikeluarkan setakat ini.
.


Monday, March 2, 2009

Irrigation

Salam...... irrigation kat kebun kami takdelah cantik sangat lagi pun kami nih masih amatur lagi tetapi ramai yang menanyakan mengenai sistem drip tape yang kami gunakan... kalau nak dibandingkan sistem irrigation kat Japan jauh bezanya........jadi di sini kami berkongsi tentang sistem irrigation yang kami gunakan di kebun kami. Memandangkan jarak kolam takungan air dengan kawasan kebun lebih kurang 200 meter dan keluasan kebun seluas 10 ekar kami menggunakan pam air ini.
.
..
Daripada pam kami menyalurkan air menggunakan paip bersaiz 5", seterusnya paip tersebut disambungkan kepada filter. Penggunaan filter sangat penting ini kerana ia akan mengelakkan drip tape daripada tersumbat. Harga filter?...... filter yang saya gunakan ini harganya dalam RM700 hingga RM800.
.
.
Daripada filter, kami pecahkan paip tersebut kepada 4 bahagian ini kerana untuk membahagikan kawasan siraman kepada 4 bahagian, ini kerana untuk memastikan kawasan tanaman mendapat tekanan air yang mencukupi. Oleh itu kerja menyiram kebiasaannya di dilakukan secara bergilir². Pada bahagian ini paip bersaiz 3" digunakan dan bahagian² tersebut dipisahkan menggunakan stopcock.
.
.
Daripada paip 3" tersebut barulah kami menyambungkan dengan drip tape. Paip PVC atau poly paip ditebuk dan disambungkan dengan menggunakan adapter (seperti gambar dibawah) seterusnya adapter tersebut disambung dengan paip 13mm dan paip tersebut di masukkan ke dalam drip tape, untuk memastikan ia tidak tertanggal drip dan paip tersebut diikat dengan dawai. Drip tape tersebut di isi di atas batas dan di bawah silver shine. Di bahagian hujung drip tape pula akan dilipat dan diikat dengan dawai untuk memastikan bahagian tersebut tidak mengeluarkan air. Berikut gambar dan gambarajah adapter serta drip tape yang kami gunakan.
.


.

Related Posts with Thumbnails