Friday, August 28, 2009

Peria, Labu & Bendi.... Harvest

Salam Ramadhan dan selamat berpuasa semua...... bila tiba bulan puasa nih kerja² tetap dijalankan seperti biasa cuma balik awal sedikit daripada biasa untuk berbuka, jika tidak sebelum ini hampir jam 8 malam baru balik. Kerja² pada bulan puasa ini tidaklah seteruk waktu saya di Japan dahulu, berpuasa seorang diri di Fukuoka.... bekerja di ladang bapa angkat dari pagi hingga ke petang... tak bersahur...dan bila tiba waktu berbuka tidak dibenarkan pulang sebab tempoh waktu bekerja belum tamat lagi.. terpaksalah makan dan minum apa yang ada ditengah² ladang. itulah cara bekerja di sana... walaupun apa yang berlaku kerja² tetap dijalankan seperti biasa.

Berbalik kepada kebun, tanaman peria sudah mula mengeluarkan hasil dijangkakan seminggu dari sekarang hasil mula akan bertambah. Jika dilihat pada masa sekarang, pucuk² peria masih lagi menjalar dan belum menutupi junjung sepenuhnya. Sepanjang minggu ini boleh dikatakan setiap hari hujan pada sebelah petang dan malam ini tidak baik untuk tanaman sayur seperti peria di mana hujan yang lebat mengakibatkan serangan kulat pada daun peria, oleh itu kerja² meracun terpaksa dilakukan dengan kerap.

Untuk tanaman lain pula seperti bendi dan labu, hasil telah mulai dituai dan dijual. Seperti mana peria tanaman tersebut juga masih dalam peringkat permulaan pengeluaran hasil dan hasil akan mula bertambah dari masa ke semasa. Selain kerja² di kebun, pada masa sekarang kami menjalankan kerja² menuai padi seluas 60 ekar di Luit, Daerah Maran... kerja² tersebut mungkin akan selesai dalam tempoh terdekat ini.


tanaman peria sudah mula menutupi junjung



peria mula berbuah



bendi juga mula berbuah dan dituai hasilnya



labu mula di petik dan dijual secara berperingkat

Saturday, August 1, 2009

Peria, Bendi Dan Labu Update Ogos 09

Pada sekarang tanaman peria sudah berumur 2 minggu lebih, ada sesetengah pokok peria mencecah ketinggian paras kepala. Pada kebiasaannya buah peria boleh dipetik sejak berumur 50 hari. Untuk tanaman kali ini kami cuba sedaya upaya berusaha agar peria ini mula mengeluarkan hasil 45 hari sahaja iaitu awal 5 hari daripada kebiasaan. Pelbagai cara dan kaedah digunakan untuk tanaman peria musim ini agar dapat menghasilkan buah yang baik dan banyak. Ini adalah kali kedua kami menanam peria berdasarkan pengalaman yang lalu, kami cuba memperbaiki kaedah tanaman yang digunakan dahulu. Kami menjangkakan hasil tanaman peria akan mula di kutip pada penghujung bulan ini. Harga semasa peria untuk harga ladang pada masa ini ialah RM3.00 untuk setiap kg. Diharapkan harga tersebut berkekalan atau meningkat di masa hadapan. Untuk tanaman labu pula ia sudah mula mengeluarkan buah dan tanaman bendi pula sudah membesar dan mencapai ketinggian 1 hingga 2 kaki. Kami menjangkakan tanaman labu dan bendi tidak akan mengeluarkan hasil yang banyak, ini kerana tanaman tersebut di tanam di atas batas yang telah digunakan untuk tanaman cili dan peria tempohari, masalah kekurangan baja asas dan batas yang telah menjadi padat mungkin akan mengakibatkan pokok tidak berapa subur dan hasil yang tidak berapa memuaskan. Sepanjang 2 minggu ini antara aktiviti yang dijalankan ialah memunggah kayu daripada hutan untuk digunakan sebagai pancang tanaman peria untuk fasa kedua. Selain itu pada minggu lepas kami menjalan kerja-kerja menuai padi seluas 60 ekar di Bera milik En. Zizi. Pada peringkat awal kami menjangkakan kerja-kerja tersebut akan selesai dalam masa seminggu tetapi malang tidak berbau, jentuai padi kami telah terbenam di dalam sawah tersebut kerana disebabkan oleh mendapan tanah. 4 hari diperlukan untuk mengeluarkan jentuai dan membaiki kerosakan, jentuai terpaksa dikeluarkan menggunakan Bulldozer, ditarik dengan traktor dan laluan dibina menggunakan JCB. Hari semalam (31 julai) kerja-kerja menuai telah selesai dan jentuai telah dibawa pulang. Dalam bulan ini antara aktivi yang dirancang ialah mengumpul kayu dari hutan untuk dibuat junjung, membina junjung selain itu penyedian tapak seluas 5 ekar untuk tanaman labu.


Tanaman peria sedang membesar


Pertumbuhan peria mula mencecah junjung



labu mula menutupi tanah


Jentuai padi terbenam didalam sawah



Bulldozer, Traktor dan JCB terpaksa digunakan untuk mengeluarkan jentuai.


Tip Tanaman Labu:

  • Jarak tanaman ialah 3-4 kaki X 5-6 kaki.
  • Baja asas (tahi ayam) amat penting, lagi banyak lagi bagus.
  • Siraman diperlukan setiap hari (pagi & petang).
  • Sistem drip (titisan) sesuai untuk tanaman labu kerana air terus pergi ke pangkal pokok.
  • Sistem renjis tidak digalakkan kerana air kebanyakkan tidak sampai ke tanah kerana dihalang oleh daun labu. Selain itu sistem renjis menggalakkan pertumbuhan rumput (rumput pun dapat air gak).
  • Kerja² pembajaan perlu mengikut jadual ini kerana bila pokok sudah besar ia akan menyusahkan pergerakan untuk melakukan kerja² pembajaan.
  • Pendebungaan digalakkan untuk menghasilkan buah yang banyak.
  • Maklumat tanaman sila rujuk di sini

Related Posts with Thumbnails