Saturday, January 31, 2009

Cili Update Feb 09

Sehingga kini hampir 1,000kg cili telah dikeluarkan, kami mensasarkan hasil akan mencapai sekurang-kurangnya 3,000kg. Dari segi harga pula kami mendapat harga jualan cili antara RM7.50 hingga RM10.00 untuk 1kg. Faktor hujan dan musim perayaan tahun baru cina menyebabkan harga cili melambung di pasaran.

Satu pengajaran yang penting yang kami perolehi daripada tanaman cili pada musim ini iaitu masalah pemasaran. Jika sebelum ini kami menanam sayur-sayuran setiap jenis dalam keluasan sehingga 2 hingga 5 ekar dan mengeluarkan hasil 1,000kg hingga 2,000kg sehari, tetapi untuk cili musim ini kami menanam hanya 1 ekar sebagai projek pembelajaran di mana masalahnya timbul apabila hasil yang dikeluarkan pada masa ini setiap hari antara 70kg sehingga 120kg. Dengan hasil sebanyak itu kami tidak boleh memasarkan cili ke pasar Borong Selayang atau Giant seperti biasa ini kerana kuantiti cili terlalu sedikit dan tidak memadai dengan kos pengangkutan. Sebagai alternatif kami memasarkan cili kepada peniaga² runcit, pasar malam dan juga ke pasar berhampiran...... masalahnya pula dengan kuantiti cili sebanyak itu mereka tidak mampu untuk membelinya setiap masa dan menghabiskannya setiap hari... (dalam erti kata lain market cili dah jam). Selain itu komitmen saya sepenuhnya di kebun juga menyukarkan saya untuk bergerak mencari pembeli-pembeli baru. Jadi dimasa akan datang, jika kami menanam cili kami akan menanam dalam keluasan sekukurangnya 3 ekar untuk memudahkan ia dipasarkan atau menambah lagi jaringan-jaringan pembeli di daerah ini.

Untuk projek akan datang pula, pada penghujung bulan feb kami akan mula menanam peria peringkat ke-2 seluas 2 ekar dimana kawasan tanaman tersebut sudah dibersihkan dan dalam proses penyedian tapak. Pada bulan mac pula kami bercadang akan menanam petola seluas 2 ekar dan terung panjang seluas 5 ekar....insyaallah.


Peria Update Feb 09

Tanaman peria sudah mula mencecah junjung, pertumbuhannya pula amat baik. Pada masa ini kami dalam proses untuk menambah bilangan jaringan pada junjung, ini kerana berdasarkan tanaman peria di "mini projek" buahnya terlalu banyak dan berat sehinggakan junjung tersebut melendut untuk menampung buah pada pokok peria tersebut. Pada masa ini juga kami dalam proses untuk memberi baja buah pada pokok peria tersebut. Tanaman peria ini dijangka akan mengeluarkan hasil pertamanya 2 atau 3 minggu dari sekarang. Pada masa ini harga ladang untuk peria adalah sekitar RM2.50 hingga RM3.50 untuk 1kg dan harga runcit pula sekitar RM4.50 hingga RM5.50. Harga yang agak tinggi mungkin disebabkan masih lagi dalam musim hujan dan kekurangan bekalan sayur disebabkan cuti perayaan tahun baru cina.




Mini Projek Update Feb 09

Tanaman peria dan bendi di 3 batas sebagai mini projek untuk melihat perbezaan antara penggunaan baja kimia dan bukan kimia telah mengeluarkan hasil mulai minggu lepas. kesimpulan yg kami dapat pokok tanaman tersebut sangat memerlukan baja bukan kimia (tahi ayam) sebagai medium untuk pertumbuhan mereka. Ini terbukti apabila pokok yang dibekalkan kuantiti tahi ayam yang banyak lebih subur dan menghasilkan buah yang lebih banyak berbanding yang lain. Daripada kajian tersebut kami akan mempraktikan penggunaan baja dan racun yang sama untuk tanaman peria yang sedang di tanam sekarang iaitu seluas 2 ekar.





Nangka Madu Update Feb 09

Pokok nangka semakin membesar untuk mengelakkan pokok dari tumbang ditiup angin kami telah memasang kayu pancang pada setiap pokok, dengan adanya kayu pancang tersebut diharapkan pokok nangka dapat membesar tanpa sebarang masalah. Pada peringkat ini, tanaman nangka madu tidak mempunyai masalah dan membesar dengan baik. Kawasan tanaman juga telah kami bersihkan dengan memotong rumput menggunakan traktor bertujuan untuk memastikan kawasan sentiasa bersih dan memudahkan kerja-kerja pemantauan.


Perasmian TKPM Lanchang

Pada 13 Jan kami telah menghadiri majlis perasmian TKPM Lanchang yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. TKPM Lancang seluas 3,600 hektar itu ialah satu daripada tiga TKPM di dalam ECER dan satu daripada 45 di seluruh Malaysia. Kira-kira 400 hektar diperuntukkan bagi pekebun kecil individu, manakala bakinya ialah untuk sektor swasta dan syarikat peneraju bagi membolehkan pemodenan dan automasi dalam amalan pertanian. TKPM Lanchang bermatlamat membangunkan industri buah-buahan negara bagi mengurangkan import dan meningkatkan defisit imbangan dagangan negara bagi makanan. TKPM Lanchang juga dijangka meningkatkan pengeluaran, menjana nilai dan mewujudkan lebih ramai usahawan dan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan. Ia juga akan menampung permintaan yang kian meningkat dari penduduk Malaysia yang berkembang dan kesedaran kesihatan mereka yang meningkat. Buah-buahan yang ditanam di TKPM Lanchang termasuk betik, jambu batu, belimbing, pisang, nangka, mangga dan tembikai dikeluarkan mengikut standard antarabangsa.




Friday, January 2, 2009

Peria Update Jan 09

Semua tanaman peria telah dipindahkan sepenuhnya ..... pada masa sekarang usia tanaman sudah mencapai 2 minggu. Pertumbuhan peria setakat ini tiada masalah.... peria di tanam seluas 2 ekar dengan anggaran pokok hampir 2,000 pokok. kami menanam peria dengan 2 kadar jarak yang berbeza untuk tujuan perbezaan. Jarak yang pertama 2 hingga 3 kaki antara pokok dan jarak yang kedua 3 hingga 5 kaki. Peria merupakan tanaman yang mempunyai akar yang panjang, jika ia ditanam rapat akan mengakibatkan kesukaran kepada pertumbuhan akar. Pertumbuhan akar yang tidak baik akan mengakibatkan batang pokok menjadi kecil, kurang makanan seterusnya menghasilkan buah yang tidak dan banyak. Pertumbuhan akar yang sempurna dan panjang akan menghasilkan batang pokok yang besar seterusnya hasil yang banyak dan baik.

Ada juga pekebun lain yang datang mempertikaikan jarak tanaman peria kami. Di Japan petani disana mementingkan kualiti daripada kuantiti....ini kerana kualiti pokok yang baik secara langsung akan menghasilkan kuantiti hasil yang banyak dan berkualiti. Sebahagian petani di Malaysia mementingkan kuantiti... sebab itu ada setengah petani menanam secara konvensional.... satu lubang.. 2 pokok serta jarak yang rapat antara lubang² tersebut... ia akan menyebabkan kesukaran untuk pokok tersebut membesar kerana kekangan kepada pertumbuhan akar.. seterusnya kepada pertumbuhan pokok tersebut....... kualiti VS kuantiti ?

Pada masa sekarang harga ladang untuk peria RM2.50 hingga dan harga runcit RM4.00 hingga RM5.00 untuk 1kg. Diharapkan harga tersebut berkekalan sehingga bulan depan.






Cili Update Jan 09

Selamat tahun baru.....

Cili sudah mula mengeluarkan hasil.... saya telah menjual untuk kali pertama sebanyak 2 bakul (70kg) cili yang dijual adalah cili hijau. Mengikut pengalaman saya kalau hendak cili cepat merah, sebahagian cili yang awal harus dipetik semasa hijau dan cili yang tinggal akan menjadi cepat merah. Segi pertumbuhan pokok pula, variati cili yang di tanam ini merupakan jenis tidak berapa tinggi tetapi mempunyai dahan yang merimbun. Segi serangan penyakit pula kerja² meracun dilakukan setiap 2 hingga 3 hari, setakat hari ini hampir 20 jenis racun digunakan sebab itu nak jumpa white fly pon susah. Pada peringkat awal dahulu hampir 80% tanaman diserang dan hampir menjadi kerinting, tetapi atas tindakan pantas pokok tersebut tidak menjadi kerinting... pada masa sekarang daun pokok masih lurus cuma daun menjadi sedikit kekuningan. Walaupun daun kekuningan, bunga dan putik buah tidak gugur... alhamdulillah... masih boleh mengeluarkan hasil lagi tetapi sakit mata juga tengok daun kuning. seperti semua sudah maklum penyakit tersebut berpunca daripada kawasan tersebut dimana semua penanam cili mengalami masalah yang sama. Segi pengeluaran hasil pula kami sangat berpuas hati kerana hampir 90% pokok cili pada masa sekarang mengeluarkan hasil seperti yang diharapkan. Matlamat utama tanaman cili kali ini ialah untuk belajar dan mencari kaedah yang sesuai untuk tanaman tersebut rasanya hampir tercapai...dengan kaedah yang betul....fruit setting....dan kawasan tanaman yang tidak berisiko rasanya insyaallah... boleh mencapai hasil yang memuaskan. Jika semuanya berjalan dengan lancar kami bercadang untuk membuka satu kawasan yang baru seluas 5 ekar khas untuk projek tanaman cili sahaja pada suku pertama tahun ini.






Related Link :

Cili Update Feb 09
Cili Update Jan 09
Cili Update Dis 08
Cili Update 1
Cili & Labu Sept 08
Tanaman Cili Musim Sept 08
Projek Tanaman Cili 2007

Mini Projek

Kami cuba membuat sedikit perbandingan antara penggunaan baja kimia dan baja bukan kimia untuk tanaman bendi dan peria secara konvensional. Secara berbandingan untuk tanaman secara konvensional memang tidak boleh lari daripada mengunakan baja bukan kimia (tahi ayam) untuk pertumbuhan tanaman. Belbagai cerita yang kita dengar bahawa tahi ayam adalah pembawa kepada penyakit² tanaman tetapi hendak atau tidak ia terpaksa digunakan juga untuk tanaman sayur-sayuran secara konvensional. Mengikut perbandingan pada tanaman peria yang menggunakan baja kimia.... batangnya halus...daun kekuningan serta pertumbuhannya sedikit perlahan berbanding menggunakan tahi ayam. Peria yang menggunakan tahi ayam sepenuhnya pula, batangnya lebih besar, daunnya lebih lebar dan hijau serta sudah mula mengeluarkan putik. kesimpulannya untuk tanaman secara konvensional tahi ayam adalah baja asas yang diperlukan untuk tanaman dan baja kimia pula merupakan baja pelengkap di mana ia menambah unsur² yang tiada pada tahi ayam. Mungkin ini adalah jawapan kenapa pekebun² cina lebih suka menanam sayur-sayuran secara konvensional dan menggunakan tahi ayam sebagai medium utama mereka.



Related Posts with Thumbnails