Tuesday, June 15, 2010

Terung Mini Update Jun 2010

Terung mini telah mengeluarkan hasil hampir 10 tan untuk tempoh masa sebulan ini, perkembangan pokok sangat baik. Keluasan tanaman terung mini ialah seluas 2 ekar, setiap hari kami akan memetik 1 ekar sahaja dan 1 ekar lagi akan dipetik keesokkan harinya... begitulah jadual pungutan hasil tanaman terung mini. Pada masa sekarang kadar pungutan hasil terung mini adalah sekitar 300kg hingga 400kg setiap hari dan harga ladang untuk terung mini pula sekitar RM2.50 hingga RM3.50 untuk sekilo. Ada orang kata jangka hayat dan ketinggian terung mini tidak boleh menandingi ketinggian dan jangka hayat terung bulat dan terung peparu biasa. Jadi pada masa sekarang kami sedang berusaha untuk memastikan pokok sentiasa berkenaan baik dan tumbuh subur... untuk mencapai sasaran tersebut pada masa sekarang kami sedang menukar sistem siraman drip tape yang kami gunakan untuk tanaman terung mini ini kepada sistem microject. Tujuan berbuat demikian adalah untuk memastikan pokok mendapat bekalan air yang sempurna dan memastikan pokok membesar dengan baik. Kami berharap pokok terung mini akan mampu mengeluarkan hasil sehingga penghujung september dengan sasaran hasil sekurang²nya 40 tan.

Pada 2 minggu yang lepas kami telah mula menyemai anak terung mini sebanyak 100 tray iaitu dengan bilangan pokok sebanyak 9,900 pokok. Anak benih tersebut dijangka akan dipindahkan dan ditanam di kawasan tanaman nangka madu dengan keluasan 5 ekar pada bulan hadapan. Lain² aktiviti dan perkembangan projek, pada masa sekarang kami sedang melakukan kerja² menuai padi seluas lebih 100 ekar di Kg. Mambang, Pekan untuk Syarikat Sungai Duri Plantation dan selain itu kami sedang melakukan kerja membajak dan penyediaan prasarana untuk kawasan tanaman padi seluas 40 ekar di Kg. Bukit Cempedak, Maran. 2 unit traktor dan sebiji backhoe telah dihantar untuk melakukan kerja² tersebut.



Cili & Peria Update Jun 2010

Alhamdulillah harga cili naik minggu lepas... dengar cerita ada disesetengah tempat harga ladang untuk cili mencecah RM7 sekilo. Pada masa sekarang cili kami masih mengeluarkan hasil dengan kadar purata 300kg sehari... kutipan paling banyak untuk sehari ialah pada minggu lepas sebanyak 17 bakul dengan berat sekitar 500kg (tak sempat nak snap gambar). Pada awalnya kami merancang akan memetik cili setiap 2 hari tetapi kerana buah yang banyak dan cepat masak kami terpaksa memetiknya setiap hari dan setiap hari hanya 50% sahaja daripada keseluruhan kawasan yang berjaya dipetik. Mengikut rekod lebih 10 tan cili telah dipasarkan dan pokok cili masih mengeluarkan hasil dan 80% pokok masih berkeadaan baik. Kami menjangkakan pokok cili akan mengeluarkan hasil dalam tempoh 2 bulan lagi iaitu sehingga ogos nanti. Pada bulan sept nanti kami merancangkan akan menanam cili seluas 4 ekar dengan bilangan pokok antara 25 ribu pokok hingga 35 ribu pokok cili


Benih Cili

Ramai yang menanyakan jenis cili apa yang kami tanam, benih cili tersebut sebenarnya kami hasilkan sendiri. Asal usul benih ini adalah dari jenis kulai, biasanya kami akan memetik buah dan ibu saya akan mengeluarkan biji cili tersebut untuk dibuat benih.... berkat air tangan ibu saya kot pokok cili tu menjadi. Variati cili yang kami tanam ini sebenarnya sama sahaja dengan cili kulai yang lain, ketahanan pokok dan hasil buahnya pun sama dengan pokok cili yang lain. Cuma apa yang kami rasakan faktor penting yang menyebabkan pokok cili kali ini tumbuh cantik kerana disebabkan oleh rejim penjagaan yang amat ketat musim ini... di mana pada setiap 4 hari kami akan meracun pokok cili tersebut untuk memastikan ia sentiasa berkeadaan baik. Selain penjagaan, pembajaan juga amat kami tekankan... bermacam jenis baja kami gunakan untuk memastikan pokok tumbuh lebih pantas dan baik. Sebagai bukti variati cili kami ini sama dengan yang lain... kerana terlalu sibuk dengan kerja² memungut hasil dan kekurangan pekerja, pokok cili lambat disembur dengan racun sudah ada pokok yang kerinting....edehhhh... ermmmm baru nih ada tokey cina datang nak beli benih cili kami RM2 ribu lebih untuk 1kg benih...... erkk kami tak jual benih.... kami jual cili jer....





Peria

Peria telah mengeluarkan hasil lebih 20 tan semenjak 1 bulan lebih ini, pokok peria sudah mula kekuningan dan buah pun mula tidak cantik. Kami menjangkakan peria boleh dipetik hasilnya sekurang dalam tempoh 2 minggu lagi dengan kadar hasil 7 hingga 10 tan lagi akan diperolehi. Masalah pekerja juga memberi kesan kepada pungutan hasil peria ini kerana ...... kadang kala kami terpaksa membiarkan sahaja buah peria tidak dipetik kerana memberi keutamaan kepada memetik cili dan terung dahulu. Pada bulan lepas kami mendapat 5 orang pekerja indonesia mereka telah berhenti kerja kerana tidak berminat dengan pertanian dan lebih berminat dengan kerja² pertukangan. Sebagai ganti saya baru sahaja mendapat 2 orang pekerja baru... menjadikan semuanya 5 orang pekerja walaubagaimana pun ia tidak mencukupi... sehinggakan adik perempuan saya yang sedang bercuti terpaksa turut menbantu setiap hari dan baru² ini kami juga terpaksa meminjam 3 orang pekerja dari seorang pekebun cina untuk tempoh 3 hari. Pada bulan september nanti kami merancang untuk menanam peria atau petola seluas 4 ekar.


inilah batang pokok peria,
batang pokok yang besar menghasilkan
pokok yang sihat

dan hasil yang banyak
Related Posts with Thumbnails