Monday, December 20, 2010

Cili & Bendi Update Dis 2010

Kami menanam cili dan bendi di tapak tanaman nangka madu, cili dan bendi ditanaman di atas batas yang dibina antara baris² tanaman nangka madu. Selain itu ini adalah projek 2 dalam 1 dimana tanaman bendi ditanam antara pokok cili.


Pemandangan di tapak projek





Cili

Cili mula dipetik untuk pertama kalinya pada hari semalam, untuk kutipan kali pertama hampir satu bakul (35 kg) dipetik. Banyak lagi buah cili yang masih hijau dan ia menjadi merah dalam masa terdekat ini. Walaupun ditimpa hujan setiap hari pokok cili masih berkeadaan baik dan buahnya pula besar dan licin. Harga ladang untuk cili pula sekitar RM4 untuk 1 kg. Mengikut maklumat daripada tauke² pasar borong Selayang pada masa sekarang terdapat lambakan cili daripada negara China yang dibawa masuk ke negara ini. Disebabkan lambakan cili daripada negara China harga cili yang sepatutnya tinggi pada masa sekarang mungkin sekitar RM6 hingga RM7 jatuh kepada RM4 sahaja. Kami tetap optimis bahawa cili yang kami hasilkan akan mampu bersaing dengan cili daripada negara China kerana cili kami lebih berkualiti daripada mereka. Kami menjangkakan hasil cili akan dapat dipetik sekitar 200kg setiap hari.





Bendi

Tanaman bendi telah mula dipasarkan hasilnya pada 2 minggu yang lepas, pertumbuhan bendi amat baik dan ada sesetengah pokok bendi tumbuh meninggi dan sukar untuk memetik buahnya. Disebabkan kekurangan pekerja kami tidak dapat memetik keseluruhan kawasan tanaman bendi, dimana kami terpaksa membiarkan sahaja bendi pada pokok kerana kesuntukan masa. Pada setiap hari kami mampu memetik hasil sekitar 200kg sahaja, harga ladang untuk bendi pula ialah sekitar RM2.50. Kawasan tanaman bendi agak semak kerana disebabkan hujan yang selalu turun menyebabkan rumput cepat tumbuh.


Petola Update Dis 2010

Petola telah mengeluarkan hasil 2 minggu yang lalu, pada masa sekarang pungutan hasil untuk petola ialah dalam sekitar 500kg setiap hari. Harga ladang untuk petola pula pada masa sekarang sekitar RM1.50 hingga RM2.00. Hujan yang turun setiap hari menyebabkan tanaman petola terkena serangan kulat, kekurangan pekerja dan hujan yang turun setiap hari menyukarkan untuk kami menjalankan kerja² kawalan penyakit (racun). Walaubagaimanapun pada masa sekarang kami sedang giat cuba untuk memulihkan kembali tanaman petola ini agar ia kembali berkeadaan baik dan dapat mengeluarkan hasil untuk tempoh yang lebih lama lagi.


Projek Update Dis 2010

Musim hujan yang melanda sekarang membawa perkhabaran yang baik dan buruk kepada kami, yang baiknya mungkin semua tahu bahawa harga sayur²an meningkat pada musm hujan ini antara sebabnya kekurangan sayur²an dipasaran akibat daripada masalah hujan dan banjir. Yang buruk pula ialah banyak penyakit² tanaman akibat hujan seperti serangan kulat itulah yang berlaku kepada tanaman petola kami. Selain itu kesukaran yang kami lalui sepanjang musim hujan ini ialah terpaksa bekerja dalam hujan, kerja² meracun tanaman tidak dapat dilakukan jika hujan, rumput² pula tumbuh subur... semak jadinya kebun kami. Memandangkan kami menanam sayur²an di 2 kawasan yang berlainan ia amat menyukarkan kami untuk mengumpul dan membawa keluar hasil tanaman dari kebun ke tempat pengumpulan hasil disebabkan laluan becak dan licin disebabkan hujan.

Status terkini projek, pekerja berhenti lagi... pada masa sekarang cuma tinggal 4 orang tenaga kerja sahaja. Masalah pekerja sebenarnya bukan berlaku kepada saya sahaja ada juga rakan² pekebun cina juga menghadapi masalah yang sama, sebagai contoh ada seorang pekebun cina yang mengusahakan tanaman sayur seluas 100 ekar terpaksa menghentikan aktiviti pertaniannya kerana disebabkan masalah untuk mendapatkan pekerja. pada masa sekarang petola, bendi dan cili mula mengeluarkan hasil, dan kami dalam proses untuk menanam tanaman peria dan cili pada bulan hadapan. Kelancaran projek ini bergantung pada tenaga kerja, jika kami berjaya mendapatkan pekerja dalam tempoh yang singkat ini maka projek ini dapat disiapkan dengan cepat.


kenderaan terpaksa ditarik kerana masalah
jalan yang licin dan becak akibat hujan.


tempat pengumpulan hasil yang siap dibina
oleh Jabatan Pertanian untuk kegunaan kami.


Thursday, November 18, 2010

Tanaman Petola

Ini kali pertama sebenarnya kami menanam petola, tanaman petola tiada dalam perancangan kami untuk tanaman yang ditanam sepanjang tahun ini tetapi untuk disesuaikan dengan keadaan pasaran dan jumlah pekerja yang ada kami mengambil keputusan untuk menanam petola kerana ia tidak memerlukan bilangan pekerja yang ramai untuk menguruskannya. Pada masa sekarang petola sudah mengeluarkan putik sebesar jari dan kami menjangkakan hasil akan mula dipetik selewat²nya 2 minggu dari sekarang. Selain itu kami menjangka keluaran hasil sekurang²nya sebanyak 500kg setiap hari.



Nota kaki : gambar gelap sedikit, gambar diambil pada jam 7.30 malam.

Cili, Bendi & Nangka Madu Update Nov 2010

Tanaman cili dan bendi di tanam di tapak tanaman nangka madu seluas 5 ekar tetapi setelah ditolak dengan kawasan yang ditanam dengan nangka hanya 4 ekar kawasan ditanam. Kami mengambil pendekatan yang berbeza untuk tanaman cili yang di tanam kali ini dimana kami menanam cili dan selangseli dengan tanaman bendi. Ini kali ke 2 kami menanam menggunakan keedah tersebut dimana sebelum ini kali menanam cili dengan tanaman lain dan ianya berjaya mencapai okjektif kami. Antara tujuan menanam seperti kaedah ini ialah untuk kawalan penyakit dan memaksimumkan kawasan tanaman dan guna tenaga kerja.


Tanaman Cili
Dianggarkan hampir 15, 000 pokok cili yang di tanam, pada masa sekarang cili sudah mula berbuah dan dijangkakan akan mula dipetik hasilnya pada awal bulan hadapan. Variati cili yang ditanam ini adalah jenis yang sama kami tanam sebelum ini. Kami berharap cili yang ditanam ini membesar dengan baik seperti cili yang kami tanam sebelum ini dimana hasilnya dapat dipetik selama hampir 7 bulan.



Tanaman Bendi
Tanama bendi ini boleh dianggap sebagai tanaman sampingan, pertumbuhan bendi setakat ini sangat baik. Pokoknya tumbuh dengan subur dimana daunnya sangat lebar dan hijau pekat. Kami menjangkakan hasil akan mula dapat dipetik 2 minggu lagi lagi dengan sasaran hasil sekurang-kurangnya 150kg setiap hari.



Tanaman Nangka Madu
Pada masa sekarang pokok nangka madu dalam proses mencantas dahan-dahannya, kerja² tersebut sedang dilakukan secara berperingkat². Sebenarnya kami sudah terlewat untuk mencantas pokok tersebut, sepatutnya ia harus dilakukan lebih awal lagi. Memandangkan ini pengalaman pertama kami menanam nangka madu banyak yang kami ketinggalan dan kami harus pelajari.


Agroville Update Nov 2010

Assalamualaikum dan selamat hari raya aidil adha untuk semua. Rasanya kali ni paling lama blog kami tidak dikemaskini hampir 3 bulan rasanya. Banyak perkara yang berlaku dalam tempoh waktu itu dan banyak juga isu² yang timbul, disebabkan itu kami tidak mempunyai masa untuk mengemaskini blog dan membalas email. Masalah paling utama ialah masalah kekurangan tenaga kerja, semenjak dari hari raya puasa yang lepas 5 orang pekerja Indonesia melarikan diri dan 2 orang pekerja dari Thailand pula berhenti kerja kerana mempunyai masalah peribadi. Pada masa sekarang cuma tinggal 5 orang tenaga kerja termasuk diri saya sendiri.

Kekurangan pekerja banyak memberi masalah kepada kelancaran projek kami, itu perkara yang paling merisaukan kami untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Pekerja² ini walaupun dilayan dengan baik dan diberikan segala kemudahan, tetapi jika mahu meninggalkan kita mereka tetap akan berbuat demikian amat susah untuk mencari pekerja yang betul² setia pada masa sekarang. Lebih² lagi jika ada anasir² luar yang menghasut perkerja² ini seperti yang terjadi kepada kami dimana ada pengusaha yang berjiran dengan kami berperanan menjadi broker menghasut pekerja kami melarikan diri dan bekerja dengan toke yang lain dengan tujuan untuk mendapat komisyen. Itulah yang terjadi kepada 5 orang pekerja Indonesia kami yang terpengaruh dengan janji² kosong dan akhirnya tertipu... seorang dari pekerja tersebut datang kembali untuk bekerja semula yang selebihnya malu untuk datang semula dan membawa haluan yang baru.

Pada masa sekarang kami menanam cili seluas 4 ekar, bendi seluas 4 ekar dan petola seluas 2 ekar. Selain itu dalam tempoh yang terdekat kami akan menanam cili seluas 2 ekar lagi untuk fasa yang kedua dimana anak benih cili telah sedia dipindahkan ke batas dan tanaman labu seluas 4 ekar. Terdapat sedikit perbezaan daripada perancangan sebelum ini, kami terpaksa mengubah mengikut kesesuai keadaan semasa dan mengambil kira guna tenaga kerja yang ada pada masa ini. Selain itu kami juga sedang mempersiapkan diri untuk menerima kunjungan dari delegasi² Pegawai Pertanian dari Japan dan Pegawai Pertanian dari Putrajaya pada 22 Jan 2011 nanti.


Gambar diatas pula ialah tempat pengumpulan dan memproses hasil yang sedang giat dibina, tempat pengumpulan hasil tersebut dibina oleh Jabatan Pertanian Dan Asas Tani Daerah Maran untuk kegunaan kami. Kami juga sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada Pegawai Pertanian Daerah Maran iaitu En. Muhammad khalil B. Idris dan juga kepada En. Zaimi yang menyelia projek kami di TKPM Kg. Bunian Chenor.

Monday, August 16, 2010

Terung Fasa 2 - Update Ogos 2010

Ini adalah tanaman terung mini fasa kedua yang ditanam di kawasan tanaman nangka madu, kami menanam terung di antara baris² nangka. Keluasan kawasan tanaman adalah 5 ekar, tetapi sebahagian kawasan ditanam dengan nangka madu selain jarak antara batas² terung kami jarakkan lebih sedikit berbanding jarak sebelum ini dianggarkan 3 hingga 3.5 ekar sahaja sepenuhnya ditanam dengan terung mini.

Terung mini ini telah dipindahkan sepenuhnya pada seminggu yang lepas, untuk tanaman terung mini kali ini kami menggunakan sistem siraman microjet sepenuhnya. Terung mini ini dijangkakan akan mengeluarkan hasilnya pada pertengahan atau penghujung oktober nanti. Kami menjangkakan jangkaan keluaran hasil sebanyak 600kg hingga 700kg setiap hari, jangkaan ini adalah berdasarkan keluaran hasil terung mini sekarang yang mengeluarkan lebih 200kg untuk satu ekar setiap hari.

Related Posts with Thumbnails