Tuesday, October 27, 2009

Oktober Update

Tanaman peria, bendi dan labu telah berakhir. Pada masa sekarang kami sedang menjalankan kerja menyiapkan tapak tanaman untuk tanaman timun seluas 2 ekar dan peria seluas 2 ekar. Kawasan tersebut telah dibersihkan, dibajak dan sebahagianya telah dibina junjung. Memandangkan masih terdapat 400 batang kayu yang belum mencukupi untuk dibina junjung kami terpaksa masuk ke hutan dan menebang kayu² tersebut. Pada peringkat awalnya untuk menjimatkan masa, kami bercadang untuk mengupah pemuda² kampung untuk mencarikan kayu tersebut tetapi mereka meminta bayaran yang tak masuk akal (RM12 untuk sebatang kayu) untuk mengelakkan peningkatan kos, kami terpaksa mencarinya sendiri kayu tersebut.

Sukar juga untuk membawa keluar kayu tersebut kerana kedudukan di kawasan hutan dan jalan yang tidak sempurna. Sepatutnya kayu tersebut dibawa keluar menggunakan traktor yang dilengkapi dengan trailer kerana traktor boleh membawa muatan yang berat dan boleh melalui jalan yang sukar, kerana ketiadaan trailer maka kami terpaksa menggunakan lori 1 tan. Dengan muatan yang berat dan keadaan jalan yang sukar, setiap pusingan perjalanan hanya mampu membawa sehingga 50 batang kayu sahaja. Kerja² menebang kayu dan seterusnya membawa ke tapak projek dijangka memakan masa hampir seminggu. Kami mensasarkan tanaman timun dan peria akan ditanam selewat²nya 2 minggu dari sekarang.



kerja memunggah kayu pancang


ini dia pokok cili yang berusia 9 bulan lebih
di tapak ujian kami


Tapak Projek Ke 3

lokasi: TKPM Kg. Serengkam, Maran, Pahang.
Keluasan : 100 ekar (20 ekar setiap peserta)
Jenis Tanaman : Nangka Madu

Inilah tapak projek yang kami ceritakan sebelum ini. Mengikut perancangan, projek harus dimulakan pada bulan november hadapan tetapi memandang perkara² asas seperti pagar keliling atau parit keliling masih belum didirikan dan dibuat mungkin proses tanaman akan lewat daripada tempoh yang dijadualkan. Berdasarkan pengalaman kami, pagar atau parit keliling adalah perkara amat penting berdasarkan tanaman nangka yang kami usahakan sebelum ini, habis beratus² pokok nangka dimusnahkan oleh babi walaupun pagar telah dibina. Inikan pula jika pagar atau parit tidak dibina kemungkinan besar akan habis semua pokok nangka akan dimusnahkan dan ia akan mengakibatkan kerugian.

Kami merancang akan menanam tanaman sampingan apabila nangka siap ditanam dan kawasan tersebut siap dilengkapi sistem siraman. Antara tanaman yang difikirkan oleh kami untuk ditanam di kawasan tersebut seperti cili, terung, nanas, labu dan pisang. Kawasan yang baru serta dikelilingi oleh hutan yang tebal dirasakan baik untuk tanaman tersebut selain kurangnya risiko serangan perosak.


inilah lot tanaman nangka kami


kawasan masih belum dibersihkan sepenuhnya



Thursday, October 8, 2009

Peria Ke Jordan

Selamat hari raya semua, mungkin agak terlewat untuk saya mengucapkan selamat hari raya untuk anda semua, maklumlah terlalu sibuk dengan kerja² kebun tidak sempat update blog. Peria ke Jordan?..... itulah yang berlaku kepada hasil peria kami pada musim ini, sebanyak 400kg hingga 500kg setiap hari di eksport ke Jordan melalui kerjasama daripada pihak FAMA. Hasil selebihnya pula kami pasarkan ke Pasar Borong Selayang... secara purata kami menghasilkan peria sebanyak 500kg hingga 700kg setiap hari. Sehingga kini kami telah memasarkan hampir 30,000kg (30 tan) peria semenjak lebih sebulan yang lalu. Selain itu labu telah habis dikutip dan bendi masih mengeluarkan hasil. Pada hari raya yang lepas kami mengalami sedikit kerugian kerana disebabkan cuti hari raya peria tidak dapat di pasarkan, pihak FAMA cuti selama seminggu, peniaga² di Pasar Borong Selayang pula cuti selama 3 hari, pengusaha lori yang membawa sayur ke Pasar Borong pula cuti seminggu... jadi terpaksalah kami mencari alternatif lain untuk menghantar peria ke Pasar Borong Selayang. Disebabkan pihak² tersebut cuti kami terpaksa menanggung kerugian, dianggarkan sebanyak 3,000kg peria terpaksa dibuang atau terus masak di pokok seterusnya dimusnahkan.

Selain itu pada masa sekarang kami sedang melakukan kerja² menuai padi seluas 70 ekar di Kg. Mambang Pekan milik En. Said. Pada 3 minggu lepas kami telah melakukan baikpulih menyeluruh pada jentuai padi kami. Berbagai peralatan yang lama diganti baru, sebarang kerosakan dibaiki dan jentuai tersebut di cat baru oleh 3 orang tukang cat profesional dari Kg. Batu 13. Diharapkan selepas baikpulih tersebut, jentuai ini akan melakukan tugasnya dengan lancar tanpa sebarang masalah

Aktiviti² yang di rancang untuk bulan ini pula, kami menjangkakan tanaman peria sekarang akan mengeluarkan hasil sekurang²nya sehingga hujung bulan ini dan menghasilkan sekurang²nya 10,000kg hingga 15,000kg lagi. Selain itu kami sedang menyiapkan tapak seluas 2 ekar untuk tanaman peria fasa yang seterus, kami masih memerlukan 300 hingga 400 batang kayu lagi untuk dibuat junjung. Selain itu kami sedang melakukan persiapan untuk menanam 2 ekar timun, timun dijangka akan mula ditanam pada november hadapan. Pada minggu hadapan 12 okt 09 kami akan mula merancang dan membuat persedian untuk menanam nangka madu seluas 20 ekar di TKPM Kg. Serengkam, kemungkinan 2 unit traktor akan dikerahkan ke tapak itu untuk melakukan kerja² penyedian tapak termasuklah mengorek lubang untuk menanam nangka menggunakan auger. Selepas nangka madu ditanam kelak kami bercadang akan menanam 5 ekar hingga 10 ekar cili diantara baris² nangka tersebut.



buah peria dipokok



bakul² peria dikumpulkan untuk dipasarkan



deretan 40 bakul peria di hantar ke pasar borong selayang



pimp my ride -> jentuai dibaikpulih & di cat baru




koleksi gambar tanaman peria


Related Posts with Thumbnails