Friday, September 2, 2011

Tanaman Terung Bulat - Update Sept 11

Tanaman terung bulat ditanam seluas 4 ekar dan telah mengeluarkan hasil hampir 2 minggu, kutipan terakhir ialah sebanyak 31 bakul (1,240 kg) iaitu pada hari terakhir puasa yang lalu. Keluaran hasil dijangka akan terus meningkat dari masa ke semasa. Sasaran pengeluaran kami ialah sebanyak 25 bakul hingga 30 bakul setiap hari dan kami juga berharap tanaman ini mampu mengeluarkan hasil tanaman sehingga awal tahun hadapan. Ini adalah kali pertama kali menanam terung bulat dengan skala yang besar, pengalaman menanam terung mini pada musim yang lepas banyak memberi kami pengalaman yang berguna dan cuba memperbaiki kelemahan² tersebut pada tanaman terung bulat ini.



Status Semasa Projek

Pada masa sekarang kami sedang giat melakukan kerja² pembersihan dan penyediaan tapak di tapak projek di TKPM Serengkam, Maran. Sebuah traktor telah dihantar ke sana untuk melakukan kerja² tersebut. Kerja² yang akan dijalankan ditapak projek tersebut ialah membersihkan kawasan tanaman nangka madu seluas 20 ekar dan menanam semula pokok nangka madu yang mati. Selain itu kami sedang menyiapkan kawasan untuk tanaman pisang dan pada masa yang sama juga kami merancang menyiapkan sekurang-kurangnya 10 hingga 13 ekar kawasan untuk tanaman terung bulat. Penyediaan tapak mungkin mengambil masa yang agak lama kerana kami perlu juga menyiapkan sistem siraman kerana ini adalah kali pertama kami menanam sayur²an di tempat ini. Kami menjangkakan penyediaan tapak akan dapat disiapkan selewat-lewatnya pada penghujung Okt. dan terung bulat akan mengeluarkan hasil selewat-lewatnya penghujung Jan 2012 nanti. Pada masa yang sama juga kami perlu mendapatkan pekerja² tambahan untuk ditempat secara tetap di tapak projek tersebut.




Tanaman Petola

Kami menanam tanaman petola seluas 2 ekar, tanaman petola ini merupakan tanaman sampingan. Tujuan asal tanaman petola ini ditanam kerana yang pertamanya kerana terdapat ruang kosong pada batas disebabkan tanaman cili mati atau dicabut disebabkan penyakit, daripada ruang tersebut kosong maka kami menanam petola di tempat itu selain menjimatkan kos kerana tidak perlu membaja dan menyiram kerana ia menumpang siraman cili dan baja daripada pokok cili. Tujuan yang kedua pula, kami cuba belajar dan memahirkan diri dengan tanaman tersebut kerana kami merasakan tanaman petola yang kami tanam sebelum ini tidak mencapai sasaran yang kami tetapkan.



Cili Update Sept 11 - Penghujung Musim

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya semua, rasanya hampir 3 bulan blog ini tidak dikemaskini... maklumlah terlalu sibuk dengan kerja sehinggakan tidak ada masa untuk "berblog". Jika sebelum ini tanaman peria seluas 4 ekar telah habis dan pada masa sekarang pula tanaman cili sudah berada dipenghujung musim pula. Tanaman cili telah mengeluarkan hasil hampir 4 bulan dan dijangkakan masih mampu bertahan dan mengeluarkan hasil satu bulan atau sebulan setengah lagi. Kebanyakkan pokok cili sekarang terkena serangan penyakit dan ada juga masalah kerinting, memandangkan sudah sampai ke penghujung musim kami tidak lagi memulihkan tanaman tersebut kerana ianya tidak sudah tidak praktikal dan merugikan kos sahaja. Walaupun sudah penghujung musim cili mampu mengeluarkan hasil sekitar 5 (150kg) hingga 8 bakul (240kg) setiap kali hasil dipetik. Berkemungkinan besar kami akan menanam timun, peria atau cili untuk menggantikan tanaman tersebut.







Related Posts with Thumbnails