Saturday, February 27, 2010

Cili Update Feb 10

Setelah sebulan pokok cili dipindahkan pokok cili tumbuh subur dan tiada masalah yang besar setakat ini. Hampir 19,000 pokok cili telah ditanam, pokok cili dijangka akan mengeluarkan hasil pada bulan april nanti.

Untuk aktivi lain pula sepanjang bulan mac ini, bermula pada minggu lepas kami telah menjalankan kerja² menuai padi seluas 200 ekar di Kampung Merchong Nenasi, Pekan. Satu unit jentuai padi telah dihantar ke sana, untuk projek di sana ianya diuruskan oleh adik saya (jijo). Selain itu pada minggu lepas juga 2 unit traktor telah di hantar dan telah memulakan kerja membersihkan kawasan sawah padi seterusnya melakukan kerja² membajak seluas 80 ekar di Kampung Luit, Maran. Untuk kedua² kerja luar tersebut dijangka akan berakhir pada penghujung bulan mac nanti. Pada bulan hadapan (mac) kami akan memulakan kerja² menanam 2 ekar tanaman labu dimana pada masa sekarang kawasan tersebut sedang dibersihkan.


kayu pancang telah didirikan


daun cili yang hijau dan subur


memeriksa pokok cili


deretan pokok cili


Peria & Terung Mini - Update Feb 10

Tanaman peria sudah mula dipindahkan ke batas pada minggu ini, walaupun musim kemarau pada masa ini ia tidak memberi kesan kepada tanaman cuma jika sebelum ini tanaman kami disiram 2 kali sehari tetapi pada musim kemarau sekarang tanaman kami di siram 3 kali sehari. Jadinya terdapat sedikit peningkatan segi kos minyak diesel untuk pam air.

Sebenarnya pada awal bulan feb kami telah pindahkan peria ke batas dan pada minggu pertama pokok peria di batas ia menghadapi masalah dimana daun peria rosak mungkin disebabkan oleh dos racun yang berlebihan. Untuk mengelakkan sebarang risiko kami membuang semua pokok peria dan menyemai semula anak benih peria untuk menggantikannya. Peria dijangkakan mengeluarkan hasil pada penghujung mac atau awal april nanti.

Tanaman terung pula, batas telah siap dibina dan ditutup dengan silver shine dan sistem siraman sedang dipasang. Pertumbuhan anak benih terung sangat baik dan bersedia untuk dipindahkan pada minggu hadapan. Seperti peria, terung juga dijangka akan mengeluarkan hasil pada awal april nanti.


anak pokok peria yang baru dipindahkan


pertumbuhan peria sangat baik


anak pokok terung mini di rumah semaian


anak pokok terung sedia dipindahkan ke batas


batas terung mini telah tersedia


Monday, February 1, 2010

Cili, Peria Dan Terung

Cili telah mula dipindahkan ke batas pada minggu lepas, pada masa sekarang cili tidak menghadapi masalah. Pada asalnya kami mahu menanam 4 ekar cili, 2 ekar peria dan 1 ekar terung mini. Pada masa sekarang terdapat sedikit perubahan di mana kami menanam 2 ekar cili, 2 ekar peria dan 2 ekar terung mini. Terdapat sedikit perbezaan untuk tanaman cili kami ini dimana setiap lubang kami meletakkan 3 hingga 4 anak pokok, tujuan berbuat demikian ialah jika salah satu pokok cili tersebut terkena penyakit seperti kerinting kami terus akan cabut dan buang. Pada peringkat akhir nanti kami akan memilih pokok yang baik sahaja untuk dikekalkan dan pokok yang bermasalah akan dibuang.

Untuk tanaman peria pula benih telah mula disemai dan kerja menyiapkan junjung akan disiapkan dalam minggu ini. Peria dijangka akan dipindahkan selewatnya 10 hari daripada sekarang. Tanaman terung mini pula, benih telah mula disemai dan dijangka anak terung akan dipindahkan sebulan daripada sekarang. Tapak tanaman terung telah dibina batas dan kerja memasang silver shine dan sistem siraman akan dilakukan dalam masa terdekat.

Aktiviti lain yang dilakukan untuk sepanjang bulan febuari ini ialah, pada pertengahan bulan ini kami mendapat tawaran membuat kerja² menuai padi dan seterusnya kerja² membajak kawasan tanaman padi seluas 200 ekar di Kg. Merchong Pekan, Pahang. Selain itu kami juga mendapat kerja membajak kawasan tanaman padi seluas hampir 100 ekar di Kg. Luit, Maran, Pahang. Seterusnya kami merancang akan menanam terung mini atau terung bulat seluas 5 ekar di kawasan tanaman nangka madu setelah kerja² membajak sawah padi tersebut selesai kelak. Selain itu kami juga merancang akan menanam labu seluas 2 ekar setelah timun habis di tuai nanti.

anak cili yang baru dipindahkan


cili di batas


batas untuk tanaman terung mini


terung bulat yang telah 3 bulan mengeluarkan hasil
ditanam untuk tujuan kajian dan pembelajaran

Timun Update Feb 2010

Bermacam perkara yang berlaku pada tanaman timun musim ini, disebabkan harga yang jatuh menjunam tempoh hari kami mengambil inisiatif untuk memberi tumpuan yang lebih kepada pokok timun supaya ia dapat menghasilkan buah yang berlipat kali ganda seterusnya dapat mengimbangi kejatuhan harga tersebut. Diluar jangkaan kami sebenarnya... sehingga kini timun kami telah mengeluarkan hasil selama 6 minggu dan hasil yang telah dituai pula sebanyak 35,000 kg (35 tan) dimana kebiasaan timun hanya mengeluarkan hasil selama 4 minggu sahaja. Beberapa orang pekebun yang berkebun berhampiran kami hairan bagaimana timun yang kami tananam lebih awal daripada mereka masih mengeluarkan hasil sedangkan tanaman timun mereka telah habis dituai 2 minggu yang lepas.

Faktor yang kami rasa membawa kepada kejayaan ini ialah yang pertama penggunaan tahi ayam yang banyak, untuk tanaman timun seluas 2 ekar ini kami menggunakan hampir 11,000 kg (11 tan) tahi ayam sebagai baja asas. Hasil daripada penggunaan tahi ayam banyak..... akar mendapat baja yang secukupnya seterusnya menghasilkan batang pokok yang besar, dimana untuk tanaman timun kali ini batang timun kami membesar lebih besar daripada ibu jari. Faktor yang kedua pula penjagaan yang lebih, tidak seperti sebelum ini kami menanam timun dengan keluasan 4 hingga 5 ekar. Memandangkan terlalu banyak pokok kami tidak dapat menumpukanan banyak masa untuk menjaga pertumbuhan pokok serta penyelenggaraan.

Sehingga hari ini timun masih mengeluarkan hasil sebanyak 500kg sehari walaupun pokok sudah mula terkena serangan downy, pada masa sekarang kami rasakan tidak perlu lagi untuk diracun kerana pokok sudah melebihi umur yang sepatutnya. Pada masa ini kami memajak hasil timun kami kepada seorang pemborong dengan harga RM0.20 untuk setiap kg dimana pemborong tersebut perlulah memetik sendiri timun dipokok. Ini kerana kami terlalu sibuk dengan kerja penanaman cili, peria dan terung mini serta kerja² luar yang lain.


keadaan pokok timun setelah 6 minggu mengeluarkan hasil


pokok timun masih mengeluarkan bunga dan buah baru


batang pokok timun yang besar hasil
meletakkan baja asas yang banyak

Monday, January 11, 2010

Timun Jan 2010 - Cabaran Bermula

Cabaran bermula kerana harga timun jatuh menjunam sejak disember 09 yang lalu. Mungkin semua sudah sedia maklum tentang kejatuhan beberapa jenis sayur²an dipasaran pada masa sekarang. Harga timun bermula baik sejak november hingga awal disember yang lalu di mana harga ladang untuk timun pada masa itu sekitar RM1.00 hingga RM1.20 untuk 1kg. Pada sekarang harga menjunam sekitar RM0.40 hingga RM0.60 untuk 1kg.

Pada nov yang lalu kami berusaha untuk memastikan pokok timun membesar lebih cepat dan mengeluarkan hasil lebih cepat.... tetapi bila bulan disember harga jatuh... kami mula mencari jalan macam mana nak bagi pokok timun lambat berbuah...hehehe.... tiada rezeki nak buat camner kan? Timun telah mengeluarkan hasil sejak 3 minggu yang lepas dan sehingga kini timun telah mengeluarkan hasil 20,000kg (20 tan). Pada masa sekarang kadar keluaran hasil timun ialah 1,000kg hingga 1,500kg (1 tan hingga 1.5 tan) setiap hari.

Perkembangan pokok pula, walaupun 3 minggu telah mengeluarkan hasil pokok masih berkeadaan baik. Selama kami menanam timun boleh dikatakan inilah pokok timun yang terbaik pernah kami hasilkan. Kami jangkakan pokok timun tersebut mampu mengeluarkan hasil sekurang²nya 2 minggu lagi dengan hasil sekurang²nya 10,000kg (10 tan) lagi.

Apa yang kami lakukan semasa harga jatuh sekarang? mula² tu kecewa jugak..... dok pikir dalam kepala nak cabut jer pokok timun ni nak ganti ngan labu lak. Walaubagaimanapun menanam sayur secara konversional seperti kami walaupun harga menjunam kami masih boleh mendapat keuntungan walaupun marginnya kecil ini kerana kos untuk konvensional adalah lebih rendah berbanding tanaman fertigasi. Apa yang kami lakukan sekarang walaupun harga rendah kami cuba sedaya cuba meningkat hasil tanaman tanpa kos tambahan. Jadi walaupun harga rendah tetapi hasil meningkat kami tetap akan mendapat keuntungan sewajarnya. Antara penyebab harga timun jatuh ialah kerana lambakan timun di pasaran. Untuk memastikan timun kami berjaya dijual dan bersaing di pasaran, kami hanya menjual timun yang bermutu (gred A) sahaja, timun yang kurang cantik (gred B) kami buang begitu sahaja.

pokok timun tumbuh subur


timun mengeluarkan hasil



daun pokok yang lebar



buah² timun gred B dibuang begitu sahaja



daun yang lebat dan tersusun


timun sedia di petik



pengeluaran sebanyak 20 hingga 30 bakul sehari





Click Here!

Selamat Tahun Baru 2010!

Selamat tahun baru semua, semoga tahun baru ini memberikan sesuatu yang hebat untuk semua. Tahun baru dan cabaran baru... projek tanaman cili seluas 4 ekar dan tanaman peria seluas 2 ekar bermula agak lewat daripada jadual... hampir terlewat sebulan. Masalahnya berpunca... yang pertama kerana kelewatan kami menerima pembatas yang ditempah. Kerana pembekal tersebut gagal menghantar pembatas yang ditempah kami terpaksa mencari pembekal yang lain.. akhir kami berjaya mendapatkan pembatas dari Segamat, Johor.

Masalah yang kedua pula... masalah cuaca... semua kerja di tapak projek hampir siap, kerja² merotor telah dilakukan, pancang telah didirikan, sistem siraman sedia dipasang... cuma kerja² mendirikan batas termasuk menabur tahi ayam sahaja yang perlu dilakukan. Minggu ke 3 , 4 bulan dis 09 dan pada minggu pertama jan 2010 pula hujan turun mencurah². Pembatas telah tiba masalahnya pula kerja² membuat batas tidak boleh dilakukan kerana tanah lembap dan tanah terpaksa dirotor semula kerana telah menjadi padat terkena air hujan. Sehingga kini kawasan tersebut telah 5 kali di rotor.

Pada masa sekarang cuaca telah kembali cerah, kerja² boleh dilakukan masalahnya pula tiada traktor, ini kerana semua unit traktor kami telah dihantar untuk membuat kerja² membajak sawah seluas 140 ekar di Kg. Mambang Pekan, Pahang.. itulah masalah ketiga. Disebabkan telah berjanji dengan pengusaha padi tersebut, nak tak nak kena hantar jugak traktor tersebut.

Demi kelancaran projek pada minggu ini kami sedang cuba membeli satu unit traktor mini yang baru untuk membuat kerja² di kebun. Pada minggu ini juga kami akan mula menyemai benih terung mini untuk tanaman terung mini seluas 1 ekar.

anak cili yang disemai pada disember yang lalu



tumbesaran yang baik dan sedia untuk dipindahkan



inilah pembatas yang baru dibeli berharga RM2,500
(p/s: letak harga bukan nak menunjuk² sbb kebiasaannya
ada yg email tanya berapa harga brg.. so terus kasi info)


kerja² membajak sawah seluas 140 ekar
di Kg. Mambang, Pekan, Pahang


Monday, December 14, 2009

Perancangan Tahun 2010

Sepanjang tahun 2010 kelak kami telah merangka pelan secara kasar untuk aktiviti syarikat kami pada tahun hadapan. Antara aktiviti² yang di rancang ialah:-

1. Pengeluaran hasil tanaman 300 tan metrik.

Sejak tahun 2008 hingga 2009 kami menumpukan kepada penyediaan pasarana projek seperti penyediaan tapak, sistem siraman dan banyak yang telah dilaburkan sepanjang tahun tersebut. Selain itu pada tahun tersebut juga merupakan tahun kami menimba ilmu dan mencari pengalaman. Tahun 2010 ini merupakan tahun untuk kami mengembangkan aktiviti syarikat.

  • Kami mensasarkan pada tahun 2010 kami akan mengeluarkan hasil tanaman sekurang²nya 300 tan metrik.
  • Mulai tahun 2010 kami akan menumpukan pengeluaran hasil tanaman dari jenis seperti peria, timun, cili, terung dan labu sahaja.
  • 80% hasil dijangka diperolehi daripada hasil jualan peria, timun dan labu.
  • 20% hasil lagi akan disumbangkan oleh pengeluaran hasil tanaman cili dan terung.
  • Di tapak tanaman sayur di TKPM Kg. Bunian yang berkeluasan 10 ekar itu, kami akan menumpukan kepada jenis tanaman menggunakan junjung seperti peria dan timun. Di mana 8 ekar daripada kawasan tersebut akan dibina junjung yang baru dan dijangka junjung tersebut akan bertahan dalam tempoh sekurang²nya 2 tahun.
  • Pada masa sekarang 4 ekar kawasan telah dibina junjung yang baru, manakala 4 ekar lagi akan disiapkan pada awal tahun 2010 nanti.
  • Dimasa akan datang kami bercadang membina junjung daripada konkrit sepenuhnya. Antara kelebihan junjung konkrit ialah ianya lebih teguh, kuat dan lebih tahan lama jangka hayatnya.
  • Antara sebab kami memilih tanaman menggunakan junjung sebagai tanaman utama kami ialah tanaman tersebut mempunyai pasarannya yang tersendiri dan harga yang agak stabil di pasaran.
  • Untuk tanaman seperti cili, terung dan labu kami memilih untuk di tanam di kawasan tanaman nangka madu kami di Paya Chedong yang berkeluasan 5 ekar. Sebab utama pemilihan tapak tersebut ialah kawasan tersebut kurang risiko jangkitan penyakit kerana dikawasan tersebut hanya kami sahaja yang menanam sayur²an.

2. Meningkatkan pengeluaran hasil dan meminimakan
....kos pengeluaran

Seperti semua maklum bahawa penentuan harga hasil tanaman dipasaran tidak terletak ditangan petani. Turun naik harga hasil tanaman banyak memberi kesan kepada petani, lebih² lagi jika harga jatuh ia akan memberi kesan kepada pendapatan syarikat. Untuk memaksimakan pendapatan, kami perlu meningkatkan pengeluaran hasil dan meminimakan setiap kos pengeluaran.
  • Memandangkan dalam tempoh 2 tahun ini kami hanya menumpukan kepada tanaman seperti peria, timun, labu, cili dan terung kami bertekat akan cuba memahirkan diri kami dengan tanaman² tersebut agar pengeluaran hasil akan dapat dipertingkatkan.
  • Kami akan meningkat R&D kami ke atas tanaman tersebut dengan membuat pembaharuan dari segi kaedah tanaman dari masa ke semasa.
  • Selain itu kami kami akan cuba menggunakan kaedah yang lebih baik bertujuan mengurangkan tempoh masa penyedian tapak, tempoh pembesaran pokok dan cuba mencari ikhtiar untuk melanjutkan tempoh pengeluaran hasil. Agar pengeluaran hasil dapat dipertingkatkan kelak.
  • Kami akan menggunakan segala sumber yang ada dengan sebaik²nya agar dapat mengelakkan pembaziran. Selain itu kami akan mencari idea² baru supaya kos pengeluaran dapat dikurangkan sepenuhnya.


3. Membeli peralatan dan jentera baru.

Penggunaan peralatan dan jentera pertanian banyak membantu kerja di kebun lebih² lagi jika mengusahakan tanaman secara konvensional seperti kami. Dengan adanya peralatan dan jentera pertanian kerja² dapat dilakukan dengan pantas dan menjimatkan masa serta menghasilkan mutu kerja yang berkualiti.
  • Kami merancang membeli sekurang²nya 2 unit traktor mini untuk kerja² di kebun kami kelak.
  • Walaupun kami sudah memiliki 3 unit traktor tetapi kami sangat memerlukan traktor mini ini untuk kerja² di kebun kami. Antara keperluan penggunaan traktor mini ialah, memandangkan kami akan menjayakan 8 ekar tanaman menggunakan junjung jadi kami amat memerlukan traktor mini melakukan kerja² di bawah junjung.
  • Disebabkan saiznya yang kecil dan rendah maka mudahlah ia melakukan kerja² seperti plough, rotor dan membuat batas. Jika sebelum ini, untuk membuat kerja² di bawah junjung kami terpaksa mencabut bumbung dan ekzos traktor kerana untuk mengelakkannya dari tersangkut dengan junjung.
  • Semasa saya di Japan dahulu, petani di sana memang sangat bergantung harap dengan traktor mini seperti ini, banyak kerja² yang boleh dilakukan dengan menggunakan traktor tersebut.
  • Selain itu, pada tahun hadapan kami merancang akan membuka 2 lagi kawasan baru jadi bilangan traktor yang ada sekarang belum mencukupi lagi.
traktor mini



4. Pengeluaran hasil setiap bulan dan sepanjang tahun.

Kejayaan kami terletak kepada jumlah jualan pengeluaran hasil tanaman, jika kami berjaya mengeluarkan hasil tanaman sepanjang masa ia baik untuk perkembangan syarikat kami.
  • Pada 2010 kelak kami akan memastikan pengeluaran hasil tanaman pada setiap bulan dan sepanjang tahun. Jika sebelum ini kebanyakan hasil dikeluarkan mengikut musim.
  • Jadual dan perancangan yang bersistematik harus dirancang untuk memastikan hasil tanaman dikeluarkan mengikut jadual.
  • Pengeluaran hasil tanaman pada setiap bulan akan dapat memastikan masa digunakan sepenuhnya dan pendapatan syarikat dijana setiap bulan ianya baik untuk aliran tunai syarikat.


5. Menjayakan tanaman nangka madu seluas 20 ekar
....di TKPM Kg. Serengkam.

Tanaman nangka berbeza dengan tanaman sayur²an, nangka mengeluarkan hasil sepanjang tahun dan hasilnya akan dikutip setiap bulan. Tanaman nangka madu ini dijangka akan mengeluarkan hasil pada tahun 2012. Jika nangka telah mengeluarkan hasil kelak ia akan memberikan hasil jualan RM20,000 hingga RM30,000 setiap bulan.
  • Pada masa sekarang tapak projek tersebut masih belum siap 100% lagi, dijangkakan pada awal tahun 2010 akan bermula sepenuhnya.
  • Sasaran kami untuk tahun hadapan ialah menyiapkan atau membina sepenuhnya kemudahan asas untuk projek tersebut seperti sistem siraman dan sebagainya.
  • Selain itu, kami berharap kami akan berjaya menanam sepenuhnya kawasan tersebut dengan anggaran 1,000 pokok nangka madu dan memastikan ia membesar dengan baik.
  • Walaupun pada peringkat awal kami ada perancangan untuk menjayakan kawasan tersebut dengan tanaman sayur²an tetapi keutamaan harus diberikan untuk menjayakan tanaman nangka madu terlebih dahulu.


6. Pengurusan yang lebih baik

Walaupun cuma bercucuk tanam sebagai seorang petani untuk terus melangkah lebih jauh kami perlu pemperkemaskan sistem pengurusan kami seperti, rekod tanaman, rekod jualan, jadual kerja dan sebagainya. Mengambil kira pengalaman saya di japan, petani di sana pada sebelah siang mereka sibuk di ladang dan pada sebelah malam pula mereka tetap "bekerja"... bekerja di meja tulis... mereka merekodkan apa yang mereka lakukan pada tanaman mereka dan merancang semua aktiviti seterusnya untuk tanaman mereka... serta membuat kajian untuk meningkatkan hasil tanaman. Setiap orang petani di sana mempunyai rekod puluhan tahun tanaman yang telah mereka jayakan. Rekod² tersebut akan dijadikan rujukan di masa akan datang.


Cabaran


Setiap yang dirancang pasti mempunyai cabaran dan halangannya, kami hanya mampu merancang ketentuannya di tentukan oleh yang Maha Kuasa. Antara cabaran yang di jangka mendatang antaranya ialah:-

  • Pekerja - Amat sukar untuk mendapatkan pekerja yang setia dan rajin. Sebelum ini kami telah menggunakan khidmat pekerja indonesia dan orang asli, pelbagai kerenah dan masalah timbul antaranya, tidak setia kerja sebulan cabut lari, pemalas, cerewet dan macam² lagi. Dalam tahun ini saja hampir 10 orang pekerja bertukar ganti. Ketiadaan pekerja mampu menggangu gugat jadual kerja yang dirancang.
  • Cuaca - Menjayakan tanaman konvensional mempunyai kaitan yang rapat dengan cuaca. Jika cuaca tidak baik seperti hujan ia akan mengganggu kerja² yang sedang dijalankan sebagai contoh kerja² membajak, rotor & membuat batas tidak dapat dijalankan jika keadaan tanah yang basah, tanah berbuku dan tidak gembur sepenuhnya.
  • Masa - Masa perlu digunakan sebaiknya, kelewatan dari jadual akan mengakibatkan kerugian.
  • Masalah Teknikal - Masalah teknikal merujuk kepada masalah peralatan atau jentera pertanian. Masalah kerosakan jentera pertanian dan tempoh masa untuk dibaiki akan mengakibatkan tergendalanya kerja² di kebun.
Kami berharap dan berdoa agar masalah seperti di atas dapat di atasi atau dielakkan agar memastikan apa yang dirancang sepanjang tahun 2010 ini akan menjadi kenyataan. insyallah...

Akemashite omedetö gozaimasu. Daitai nouka wa iroiro taihen koto to omou. Ishökemmei hataku to gambarimasho!!
Nögyö wa our bisnes.

Selamat tahun baru. Pada dasarnya para petani akan merasakan bermacam² perkara sukar kelak. Mari berusaha sedaya upaya dan bersungguh²!!! Pertanian adalah perniagaan kami.

Friday, December 4, 2009

Tanaman Cili 4 Ekar

Pada peringkat awal kami bercadang menanam 2 ekar cili sahaja antara sebabnya adalah masalah kekurangan pekerja. Memandangkan pada minggu ini kami telah berjaya mendapatkan seorang pekerja tambahan dan sedang berusaha menambahkan lagi bilangan pekerja. Amat sukar sebenarnya untuk mendapatkan pekerja yang rajin, setia dan boleh dipercayai. Dengan adanya pertambahan pekerja kami menambah keluasan tanaman cili kami daripada 2 ekar kepada 4 ekar. Lebih 13,000 pokok cili telah disemai dan bekalan tahi ayam sebanyak 21 tan untuk kegunaan tanaman cili juga telah diterima 3 hari yang lepas. Kami juga telah memesan pembatas yang baru daripada sebuah syarikat di Negeri Sembilan untuk kegunaan membuat batas yang lebih baik dan pembatas tersebut dijangka akan tiba pada minggu hadapan dan bersedia untuk beraksi. Selain itu dalam tempoh 2 minggu ini kami merancang cuba menyiapkan sepenuhnya pembinaan 2 ekar kawasan peria dengan junjung serta pembina batas dan dilengkapi sistem siraman. Pada masa yang sama kami cuba menyiapkan batas untuk tanaman cili seluas 4 ekar dalam tempoh masa tersebut memandangkan 2 unit traktor akan dihantar ke Kg. Mambang, Pekan untuk membuat kerja² membajak sawah seluas lebih 100 ekar di sana.


21 tan tahi ayam sebagai baja asas tanaman cili



lebih 13,000 anak pokok cili disemai


Timun Update Dis 09

Alhamdulillah tanaman timun tumbuh subur dan mengikut jadual. Keadaan cuaca sekarang yang hujan tidak henti² juga ada kebaikan dan keburukannya. Kami menjangkakan timun akan mengeluarkan hasil selewat²nya pada 17 Disember ini. Musim hujan, musim banjir, musim kenduri banyak mempengaruhi harga pasaran timun pada masa sekarang, harga timun melambung dipasaran. Diharapkan timun yang ditanam ini akan menghasilkan hasil yang baik dan banyak.


keadaan pokok timun di kebun


pokok timun semakin membesar


pokok timun sudah mula memanjat tali junjung


Friday, November 13, 2009

Timun Update Nov 09

Jenis Tanaman : Timun
Keluasan : 2 Ekar

Pada masa sekarang tapak tanaman timun telah siap 95%, cuma kerja² akhir yang tinggal untuk diselesaikan seperti menguji dan mengemaskini sistem siraman. Benih² timun juga telah disemai dan kami menjangkakan anak benih timun akan mula dipindahkan ke batas selewat²nya pada 15 Nov ini. Berdasarkan kepada perancangan ini kami menjangkakan timun akan mula mengeluarkan hasil seawal 20 disember nanti. Untuk tanaman timun kali ini kami mensasarkan pengeluaran hasil sekurang²nya sebanyak 26,000 kg. Kiraan ini adakah berdasarkan penghasilan timun yang telah kami lakukan sebelum ini iaitu sebanyak 13,000kg untuk setiap ekar. Tanaman timun kali ini kami menggunakan tapak yang sama ditanam dengan peria sebelum ini, untuk pengetahuan anda semua kami tidak membuang tunas peria yang telah mati menjalar di atas junjung bertujuan dijadikan sebagai medium untuk tanaman timun menjalar kelak.


sebahagian benih timun yang disemai



batas tersedia untuk ditanam dengan timun



sisa tanaman peria dibiarkan di atas junjung
dan akan digunakan sebagai
medium untuk timun menjalar

Peria Update & Cili Nov 09

Jenis Tanaman : Peria
Keluasan : 2 Ekar

Kerja membuat junjung untuk tanaman peria sedang rancak dijalankan, musim hujan dan hujan yang lebat banyak menggangu kerja² menanam kayu pancang. Keadaan tanah yang lembap dan basah tidak bagus untuk kerja menanam kayu pancang, ini kerana keadaan tanah yang lembap menyebabkan stuktur tanah menjadi tidak kuat dan kayu pancang yang ditanam menjadi tidak kemas dan bergoyang. Walaubagaimanapun musim hujan juga membawa rahmat kepada petani dimana kebanyakan harga sayur²an melambung dipasaran pada masa ini. Kerja² menaman kayu pancang menggunakan auger sepenuhnya, dengan penggunaan auger kayu dapat ditanam lebih dalam daripada menggunakan pengentak serta kerja² dapat dilakukan dengan lebih pantas. Selepas junjung siap dibina, kerja membuat batas dan kerja² menabur tahi ayam akan dilakukan. Batas akan ditutup dengan silver shine dan seterus sistem siraman akan dipasang.


kayu pancang sedang dibina


kerja mengorek lubang menggunakan auger




Jenis Tanaman : Tanaman Cili
Keluasan : 2 Ekar
Anggaran Bil. Pokok : 5,000 pokok hingga 7,000 pokok

Kami merancang untuk menanam cili seluas 2 ekar dengan anggaran bilangan pokok 5,000 hingga 7,000 pokok. Tapak tanaman cili telah dibersihkan, kerja² plough dan rotor telah dilakukan. Walaubagaimana untuk tanaman cili ini akan dimulakan selepas timun dan peria telah ditanam kelak.

kawasan tanaman cili telah dibersihkan

Tuesday, October 27, 2009

Oktober Update

Tanaman peria, bendi dan labu telah berakhir. Pada masa sekarang kami sedang menjalankan kerja menyiapkan tapak tanaman untuk tanaman timun seluas 2 ekar dan peria seluas 2 ekar. Kawasan tersebut telah dibersihkan, dibajak dan sebahagianya telah dibina junjung. Memandangkan masih terdapat 400 batang kayu yang belum mencukupi untuk dibina junjung kami terpaksa masuk ke hutan dan menebang kayu² tersebut. Pada peringkat awalnya untuk menjimatkan masa, kami bercadang untuk mengupah pemuda² kampung untuk mencarikan kayu tersebut tetapi mereka meminta bayaran yang tak masuk akal (RM12 untuk sebatang kayu) untuk mengelakkan peningkatan kos, kami terpaksa mencarinya sendiri kayu tersebut.

Sukar juga untuk membawa keluar kayu tersebut kerana kedudukan di kawasan hutan dan jalan yang tidak sempurna. Sepatutnya kayu tersebut dibawa keluar menggunakan traktor yang dilengkapi dengan trailer kerana traktor boleh membawa muatan yang berat dan boleh melalui jalan yang sukar, kerana ketiadaan trailer maka kami terpaksa menggunakan lori 1 tan. Dengan muatan yang berat dan keadaan jalan yang sukar, setiap pusingan perjalanan hanya mampu membawa sehingga 50 batang kayu sahaja. Kerja² menebang kayu dan seterusnya membawa ke tapak projek dijangka memakan masa hampir seminggu. Kami mensasarkan tanaman timun dan peria akan ditanam selewat²nya 2 minggu dari sekarang.



kerja memunggah kayu pancang


ini dia pokok cili yang berusia 9 bulan lebih
di tapak ujian kami


Tapak Projek Ke 3

lokasi: TKPM Kg. Serengkam, Maran, Pahang.
Keluasan : 100 ekar (20 ekar setiap peserta)
Jenis Tanaman : Nangka Madu

Inilah tapak projek yang kami ceritakan sebelum ini. Mengikut perancangan, projek harus dimulakan pada bulan november hadapan tetapi memandang perkara² asas seperti pagar keliling atau parit keliling masih belum didirikan dan dibuat mungkin proses tanaman akan lewat daripada tempoh yang dijadualkan. Berdasarkan pengalaman kami, pagar atau parit keliling adalah perkara amat penting berdasarkan tanaman nangka yang kami usahakan sebelum ini, habis beratus² pokok nangka dimusnahkan oleh babi walaupun pagar telah dibina. Inikan pula jika pagar atau parit tidak dibina kemungkinan besar akan habis semua pokok nangka akan dimusnahkan dan ia akan mengakibatkan kerugian.

Kami merancang akan menanam tanaman sampingan apabila nangka siap ditanam dan kawasan tersebut siap dilengkapi sistem siraman. Antara tanaman yang difikirkan oleh kami untuk ditanam di kawasan tersebut seperti cili, terung, nanas, labu dan pisang. Kawasan yang baru serta dikelilingi oleh hutan yang tebal dirasakan baik untuk tanaman tersebut selain kurangnya risiko serangan perosak.


inilah lot tanaman nangka kami


kawasan masih belum dibersihkan sepenuhnya



Thursday, October 8, 2009

Peria Ke Jordan

Selamat hari raya semua, mungkin agak terlewat untuk saya mengucapkan selamat hari raya untuk anda semua, maklumlah terlalu sibuk dengan kerja² kebun tidak sempat update blog. Peria ke Jordan?..... itulah yang berlaku kepada hasil peria kami pada musim ini, sebanyak 400kg hingga 500kg setiap hari di eksport ke Jordan melalui kerjasama daripada pihak FAMA. Hasil selebihnya pula kami pasarkan ke Pasar Borong Selayang... secara purata kami menghasilkan peria sebanyak 500kg hingga 700kg setiap hari. Sehingga kini kami telah memasarkan hampir 30,000kg (30 tan) peria semenjak lebih sebulan yang lalu. Selain itu labu telah habis dikutip dan bendi masih mengeluarkan hasil. Pada hari raya yang lepas kami mengalami sedikit kerugian kerana disebabkan cuti hari raya peria tidak dapat di pasarkan, pihak FAMA cuti selama seminggu, peniaga² di Pasar Borong Selayang pula cuti selama 3 hari, pengusaha lori yang membawa sayur ke Pasar Borong pula cuti seminggu... jadi terpaksalah kami mencari alternatif lain untuk menghantar peria ke Pasar Borong Selayang. Disebabkan pihak² tersebut cuti kami terpaksa menanggung kerugian, dianggarkan sebanyak 3,000kg peria terpaksa dibuang atau terus masak di pokok seterusnya dimusnahkan.

Selain itu pada masa sekarang kami sedang melakukan kerja² menuai padi seluas 70 ekar di Kg. Mambang Pekan milik En. Said. Pada 3 minggu lepas kami telah melakukan baikpulih menyeluruh pada jentuai padi kami. Berbagai peralatan yang lama diganti baru, sebarang kerosakan dibaiki dan jentuai tersebut di cat baru oleh 3 orang tukang cat profesional dari Kg. Batu 13. Diharapkan selepas baikpulih tersebut, jentuai ini akan melakukan tugasnya dengan lancar tanpa sebarang masalah

Aktiviti² yang di rancang untuk bulan ini pula, kami menjangkakan tanaman peria sekarang akan mengeluarkan hasil sekurang²nya sehingga hujung bulan ini dan menghasilkan sekurang²nya 10,000kg hingga 15,000kg lagi. Selain itu kami sedang menyiapkan tapak seluas 2 ekar untuk tanaman peria fasa yang seterus, kami masih memerlukan 300 hingga 400 batang kayu lagi untuk dibuat junjung. Selain itu kami sedang melakukan persiapan untuk menanam 2 ekar timun, timun dijangka akan mula ditanam pada november hadapan. Pada minggu hadapan 12 okt 09 kami akan mula merancang dan membuat persedian untuk menanam nangka madu seluas 20 ekar di TKPM Kg. Serengkam, kemungkinan 2 unit traktor akan dikerahkan ke tapak itu untuk melakukan kerja² penyedian tapak termasuklah mengorek lubang untuk menanam nangka menggunakan auger. Selepas nangka madu ditanam kelak kami bercadang akan menanam 5 ekar hingga 10 ekar cili diantara baris² nangka tersebut.



buah peria dipokok



bakul² peria dikumpulkan untuk dipasarkan



deretan 40 bakul peria di hantar ke pasar borong selayang



pimp my ride -> jentuai dibaikpulih & di cat baru




koleksi gambar tanaman peria


Related Posts with Thumbnails