Tuesday, May 26, 2009

Insentif Pengeluaran Tanaman

Pada 2 minggu yang lepas saya telah menerima insentif pengeluaran hasil berjumlah RM1,246.00 dari Jabatan Pertanian yang telah di sampaikan oleh Dato' Tan Aminuddin B. Ishak iaitu Exco Pertanian Dan Industri Asas Tani Negeri Pahang semasa Majlis Bersama Pelanggan Jabatan Pertanian Peringkat Daerah Maran. Sebelum ini wang insentif terus masuk dalam akaun bank sahaja tapi untuk yang kali ini istimewa sedikit dapat "cek besar" hehe. Insentif RM1,246.00 adalah insentif untuk bulan mac iaitu pengeluaran sebanyak 15,000 kg peria dan cili. Untuk makluman semua kerajaan memberi insentif sebanyak RM81 untuk setiap 1,000 kg hasil tanaman yang dikeluarkan oleh petani, untuk keterangan lanjut boleh rujuk pada Jabatan Pertanian berhampiran dengan anda.

anak buah dengan "cek"
.

Tanaman Labu Update May 09

Labu sudah mengeluarkan hasil bermula minggu yang lepas setakat hari ini 16,000 kg telah dikeluarkan. Rasanya tanaman labu untuk musim ini tidak mencapai sasaran iaitu 25,000 kg. Anggaran 25,000 kg jumlah hasil tanaman labu adalah berdasarkan jumlah yang sama yang pernah dikeluarkan pada tahun lepas. Tanaman labu kali ini boleh dianggap tanam main² kurang penjagaan, sebab sejak dari peringkat awal lagi kami terlalu sibuk dengan tanaman peria yang musnah akibat ribut dan pada peringkat seterusnya pula kami sibuk mencari kayu untuk di buat junjung peria di hutan........ selama 3 minggu masa di habiskan untuk mencari 900 batang kayu bersaiz 6 inci hingga 8 inci untuk dibuat junjung. Selain itu kedudukan tapak projek labu ini yang jauh daripada projek tanaman sayuran juga menyukarkan kami untuk membahagikan masa dan tugas. Sepanjang tempoh itu, labu hanya sekali di racun dan sekali di baja. Untuk projek seterusnya di kawasan ini kami bercadang akan menanam tembikai seluas 5 ekar, ianya akan bermula bulan hadapan dan dijangka hasil boleh dituai pada bulan puasa nanti.

Pada masa sekarang cili dan bendi telah ditanam dan peria masih dalam proses penyediaan tapak, kerja² menanam kayu pancang menggunakan traktor dan auger sedang dijalankan.... cerita lengkap dan gambar akan menyusul kemudian.

kerja² memungut buah labu
.

kerja² mengumpulkan labu
.

sebahagian labu telah ditimbang dan dibungkus
.


labu sedia di pasarkan
.



Thursday, May 7, 2009

Apabila Impian Jadi Kenangan

Kisah nih lari dari topik skit tetapi kami ingin berkongsi pengalaman ini dengan orang lain, ini adalah kisah sikap orang kita yang suka mengambil jalan mudah untuk mencari keuntungan tanpa memikirkan tentang kesusahan dan usaha orang lain. Lebih sepuluh tahun yang lalu bapa saya mengusahakan tanaman padi secara komersil di sini dengan keluasan lebih 135 ekar. Tanah tersebut adalah milik orang kampung yang di pajak oleh pihak kami. Daripada sebuah paya yang sudah terbiar puluhan tahun, dipenuhi semak samun, tanpa tali air yang sempurna, paya yang tidak rata, tanpa jalan ladang yang lengkap, tiada pagar dan berbagai kekurangan lagi. Dengan segala usaha dan susah payah bapa saya berjaya memajukan paya tersebut menjadikan paya itu lengkap dengan segala pasarananya, paya rata, dilengkapi tali air yang sempurna, kemudahan jalan yang lengkap, dilengkapi sepenuhnya dengan pagar elektrik dan pelbagai lagi. Sepanjang 10 tahun menjayakan projek tersebut hampir RM500,000.00 dilaburkan untuk projek tersebut termasuklah membeli pelbagai jentera² dan peralatan untuk projek padi tersebut. Sepanjang tempoh itu juga bapa saya mendapat pengiktirafan sebagai Projek Tanaman Padi Secara Komersil Terbesar di Negeri Pahang juga dinobatkan sebagai Johan Usahawan Tani Peringkat Negeri Pahang dan Naib Johan Kelompok Pertanian Terbaik Negeri Pahang. Selain itu juga kami berjaya mengeluarkan hasil padi lebih 200 tan untuk setiap musim. Projek padi ini juga merupakan langkah pertama saya terlibat dalam bidang pertanian di mana pada umur 15 tahun saya sudah mula membajak menggunakan traktor dan memandu jentuai membantu bapa saya mengusahakan projek padi tersebut. Selain itu kami merancang dalam tempoh 10 tahun akan datang kami akan memperluaskan kawasan tanaman tersebut secara berperingkat-peringkat sehingga keluasan 200-300 ekar.

Setelah habis tempoh pajakan 10 tahun dan setelah 3 tahun menunggu keputusan samaada dibenarkan untuk terus untuk mengusahakan paya tersebut atau tidak, akhirnya kami akur bahawa paya tersebut akan diserahkan kepada pengusaha yang lain. Tapi apa yang kami kesalkan ialah tentang sikap pihak tertentu yang berebut² untuk mengambil alih paya yang telah bapa saya usahakan itu. Padahal ada beratus ekar lagi paya terbiar yang belum diusahakan kawasan itu, kenapa pula hendak berebutkan kawasan paya yang telah diusahakan oleh bapa saya. Jawapannya mudah saja, mereka tidak boleh tengok orang lain senang dan mereka mengambil jalan mudah untuk mengusahakan kawasan tanaman yang telah lengkap pasarananya dan mereka tidak perlu bersusah payah untuk membanting tulang dan mengeluarkan modal satu sen pon untuk menyediakan pasarana projek. Selain itu lebih menyedihkan ada pihak yang akan mengalibabakan paya tersebut kepada pihak lain jika berjaya mendapatkkannya kelak. Sebenarnya jika pihak lain itu memajukan kawasan paya terbiar yang lain ia akan mendatangkan banyak faedah antaranya memperluaskan kawasan tanaman padi di Chenor dan seterusnya menyahut seruan kerajaan menjayakan tanah² terbiar. Disebabkan pelbagai pihak yang melobi untuk menjayakan kawasan tanaman padi kami itu dan selain cakap² belakang yang kurang enak cuba memburukkan pihak kami, akhirnya kami membuat keputusan untuk menarik diri dari terus menjayakan sawah padi tersebut. Walaupun kami kecewa lebih² lagi bapa saya yang selama ini memberi komitmen yang tinggi terhadap projek tersebut termasuklah membawa kami sekeluarga berpindah jadi Jengka ke Chenor belasan tahun yg lalu untuk memudahkan beliau menjayakan projek padi tersebut.

Akhir sekali, sebenarnya saya sudah ada perancangan untuk meningkatkan hasil tanaman padi semasa saya di Japan dulu, ingatkan bila balik nanti bolehlah saya praktikkan kaedah tanaman padi yang saya jayakan semasa di Japan ke projek padi bapa saya. Walaupun ia tidak menjadi kenyataan, kami berharap agar projek tanaman padi tersebut jatuh kepada tangan pihak yang betul dan semoga ia akan terus sukses seperti waktu² kami mengusahakannya dulu lagipun tidak susah rasanya sebab semuanya sudah terhidang didepan mata.


Kawasan tanaman padi menjadi rebutan

.
Padi semasa mengeluarkan hasil

.
Saya dan adik (jijo) berehat selepas penat bekerja di sawah
.

Ulang Tahun Pertama Blog

Sedar tak sedar dah setahun rupanya kewujudan blog nih. Terima kasih kepada pelawat² yang datang menjengah blog tak seberapa kami ini. Tujuan asal blog ni sebenarnya untuk memudah pihak² tertentu melihat perkembangan aktiviti pertanian kami, tetapi tidak sangka juga tanpa promosi... yelah sebab bukan jual barang pon...dan dengan link² dari blogger yang lain jumlah pengunjung sudah pun mencecah 7,500 lebih pelawat dan lebih 18,500 pages di lawati... terima kasih kepada blogger yang link blog kami ini. Satu lagi dikesempatan ini kami ingin memaklumkan kepada pelawat² kami tidak menyiarkan no telefon di blog kerana terlalu sibuk dengan kerja² di kebun ini membatas kami untuk menjawab telefon jadi eloklah rasa lebih baik tidak menyiarkan no telefon dari membiarkan panggilan dari tidak berjawab. Bukan kedekut ilmu, tetapi komitmen terhadap kerja tidak mengizinkan. Walaubagaimana anda semua masih boleh menghubungi kami melalui email ini taufiku.san@gmail.com


Statistik pelawat blog selama setahun
.
.
Related Posts with Thumbnails